KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Ara Johari mengakui pernah menangkap aura tidak menyenangkan di sebuah dewan auditorium di Shah Alam yang turut menjadi lokasi sama insiden peserta program Talk To My Manager, Ahmad Dayyan atau Amad, pengsan secara tiba-tiba.
Menurut Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 28, beliau sendiri pernah membuat persembahan di lokasi sama dan mengakui berasa seperti diperhatikan oleh ‘sesuatu’ walaupun tidak pernah mengalami gangguan secara langsung.
“Saya pernah buat persembahan di situ. Mungkin cadangan untuk ‘bersihkan’ tempat itu ada baiknya juga.
“Saya tidak pernah nampak apa-apa atau diganggu, cuma terasa seperti diperhatikan. Kadang-kadang kita boleh rasa ada aura yang berbeza. Tapi saya sendiri tak pasti sama ada betul atau tidak.
“Jika ada yang boleh sahkan, mungkin saya tak akan datang lagi. Dalam kuat saya ada takutnya juga,” katanya berseloroh ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis tayangan perdana filem Siapa Dia, di sini, pada Isnin.
Mengulas insiden membabitkan Amad, 13, Ara melahirkan rasa simpati dan berharap agar bakat muda itu segera sembuh dan kembali pulih seperti sedia kala.
“Apa yang berlaku kepada Amad memang mengejutkan. Nampak agak teruk juga kerana dia tiba-tiba tidak sedarkan diri hingga mengganggu persembahan.
“Tambahan pula, dua peserta dilaporkan terkena gangguan dalam masa yang sama, termasuk Aisha Retno. Kita doakan semoga Amad cepat sembuh kerana industri memerlukan bakat sepertinya,” ujarnya yang juga lahir daripada program pencarian bakat, Akademi Fantasia ke-13.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan wujudnya amalan ilmu hitam dalam kalangan warga industri seni, Ara memilih untuk tidak mengulas lanjut kerana bimbang menimbulkan fitnah.
“Saya tidak mahu komen sebab kalau kita kata ada, nanti jatuh fitnah.
“Cuma dulu saya pun tidak percaya kepada benda-benda (berkenaan ilmu hitam) ini, tetapi selepas orang terdekat sendiri terkena, saya mula percaya bahawa perkara sebegini memang wujud.
“Sejak itu, saya lebih berhati-hati. Jaga tutur kata, elak sakitkan hati orang dan selalu berdoa agar dijauhkan daripada perkara sebegini,” katanya lagi.
Terdahulu, beberapa artis lain termasuk Shila Amzah turut menyuarakan kebimbangan terhadap lokasi pertandingan tersebut dan mencadangkan agar ia ‘dibersihkan’.
Manakala pelawak dan usahawan, Shuib, tidak menafikan kemungkinan kewujudan unsur mistik, memandangkan arwah isterinya, Siti Sarah, juga pernah mengalami kejadian pelik ketika menyertai pertandingan nyanyian di lokasi yang sama.
Sebelum ini, Amad, yang juga anak kepada penyanyi Siti Saerah, pengsan sejurus selesai membuat persembahan terakhir dalam program realiti Talk To My Manager.
Ketika itu, beliau dilihat tidak bermaya sebelum dibantu oleh petugas dan bapanya untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, menurut pihak penganjur, hasil pemeriksaan perubatan mendapati Amad tidak mengalami sebarang masalah kesihatan. -UTUSAN