KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam kepimpinan dan tadbir urus dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ijazah kehormat tersebut dikemukakan dari Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan AbdulHamid AbuSulayman (AHAS KIRKHS) UIAM.
Penganugerahan itu disampaikan oleh Ketua Perlembagaan UIAM iaitu Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj dalam Majlis Konvokesyen Khas yang berlangsung di Dewan Utama, ISTAC-UIAM Kampus Kuala Lumpur, malam ini.
Dalam titah ucapan baginda, Tunku Azizah menzahirkan penghargaan terhadap Muhammad Shehbaz yang telah menunjukkan bahawa kepimpinan sejati bukan berlandaskan kuasa, tetapi berasaskan tujuan untuk membina kehidupan dan memperkasa komuniti melalui pendidikan, kesihatan dan peluang.
Titah Tunku Azizah, penganugerahan itu bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian Perdana Menteri Pakistan itu, tetapi juga penghormatan terhadap nilai-nilai murni yang dijunjung bersama iaitu keadilan, khidmat dan kecemerlangan berpandukan keimanan.
“Inisiatif beliau (Muhammad Shehbaz) seperti Punjab Education Endowment Fund telah membuka pintu pendidikan tinggi kepada ribuan pelajar yang dahulunya mungkin tidak pernah bermimpi untuk menjejakkan kaki ke universiti. Itulah bentuk kepimpinan yang menyentuh hati dan mengubah masa depan.
“Pada saat dunia sering mengutamakan imej berbanding integriti, beliau mengingatkan kita bahawa tadbir urus yang baik berasaskan keikhlasan, khidmat dan keteguhan seperti sabda Nabi Muhammad SAW, sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat kepada orang lain,” titah Tunku Azizah.
Baginda bertitah, Pakistan telah lama menjadi sahabat kepada Malaysia dan merupakan rakan pengasas UIAM dan di bawah kepimpinan Muhammad Shehbaz Sharif, ikatan persahabatan itu semakin kukuh.
Tunku Azizah turut menekankan bahawa para pelajar, ahli akademik dan alumni dari Pakistan terus memperkayakan UIAM serta menegakkan misi bersama untuk berkhidmat kepada ummah.
“Semoga penganugerahan ini membawa rahmat dan keberkatan Allah SWT serta menjadi inspirasi kepada pelajar dan bakal pemimpin untuk berkhidmat dengan keikhlasan dan dedikasi sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Yang Amat Berhormat, Muhammad Shehbaz Sharif sepanjang hayatnya,” titah baginda.
Muhammad Shehbaz menyifatkan penganugerahan ijazah kehormat itu sebagai satu penghormatan besar atas peranan beliau dalam perkhidmatan awam dan sebagai Perdana Menteri Pakistan.
Beliau turut berbesar hati kerana dapat dikaitkan melalui ijazah falsafah itu dengan UIAM, sebuah institusi yang menekankan integrasi ilmu, iman dan etika dalam mengejar kecemerlangan.
“Dalam menjalankan tanggungjawab ini, saya telah berusaha sebaik mungkin untuk mengabdi kepada rakyat dengan keikhlasan hati dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
“Kepimpinan bukanlah satu keistimewaan, tetapi amanah suci yang mesti dilaksanakan dengan kejujuran, keikhlasan, keadilan dan akauntabiliti yang telus di hadapan Allah SWT,” katanya.-UTUSAN










