MP Machang cadang Sidang khas Parlimen bincang isu keselamatan pelajar

MP Machang cadang Sidang khas Parlimen bincang isu keselamatan pelajar

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika hadir perhimpunan aman sekolah selamat di hadapan bangunan Parlimen, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu keselamatan pelajar di sekolah.

Ia susulan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan premis pendidikan baru-baru ini.

Beliau berkata, kebimbangan yang disuarakan mahasiswa serta ibu bapa terhadap keselamatan anak-anak adalah wajar dan perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan.

“Ini isu dasar yang menyentuh keselamatan anak-anak kita di sekolah, tempat yang sepatutnya bebas daripada sebarang bentuk jenayah termasuk kes bunuh.

“Namun, respon kerajaan Madani amat mengecewakan.

“Kami di blok pembangkang menuntut agar satu usul tergempar dibahaskan bagi membincangkan keselamatan pelajar di sekolah,” katanya ketika hadir ke perhimpunan aman sekolah selamat di hadapan bangunan Parlimen, hari ini.

Turut hadir ketika perhimpunan itu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal; sidang khas itu juga dicadang melibatkan pelbagai pihak termasuk ahli psikologi, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri bagi mencari solusi dan merangka dasar keselamatan sekolah yang lebih menyeluruh.

“Sekiranya perkara ini dapat dipersetujui, saya bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional yakin beberapa Ahli Parlimen kerajaan seperti Nik Nazmi (Nik Ahmad) dan Rafizi Ramli (Datuk Seri Rafizi Ramli) juga akan bersama mendesak agar perbincangan telus dapat diadakan demi kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan gagal mengambil tindakan sewajarnya, beliau bersama Ahli Parlimen pembangkang lain tidak teragak-agak menyokong gerakan mendesak pengunduran Fadhlina. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN