KOTA BHARU: Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia memohon maaf secara terbuka susulan tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) pada program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza di Sungai Kelantan, Jumaat lalu.
Pengerusinya, Mohd. Khairul Hafiz Hassan berkata, beliau mengambil sepenuhnya tanggungjawab terhadap penganjuran program tersebut dan menegaskan tiada sebarang niat mengagung-agungkan bendera Israel.
“Saya memohon maaf sekiranya ada mana-mana pihak yang salah faham berhubung gimik persembahan semasa hari kejadian. Situasi itu hanyalah lakonan semula kejadian sukarelawan GSF ditawan tentera Israel,” katanya.
Menurutnya, situasi yang berlaku itu bertujuan menunjukkan kekejaman dilakukan tentera Zionis terhadap rakyat Palestin dan bukan simbolik kepada sokongan terhadap rejim tersebut.
Katanya, beliau sama sekali tidak mempunyai niat untuk mengagung-agungkan bendera Israel dan mahu menunjukkan kekejaman dilakukan oleh tentera Zionis kepada rakyat Palestin, malah bersedia memberikan kerjasama untuk disiasat berhubung tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program berkenaan.
“Negara Palestin kini hanya tinggal di Gaza sahaja, manakala banyak lagi bendera Israel berkibar di tanah itu. Jadi, marilah kita sama-sama bangkitkan semangat dan sokongan kepada Palestin supaya bendera-bendera Israel itu dijatuhkan,” katanya.
Beliau menegaskan penganjuran program itu tidak melibatkan mana-mana parti politik sebaliknya adalah hasil sumbangan orang ramai dan syarikat swasta.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan walaupun sekadar gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, sebarang lambang kebangsaan tanpa kelulusan seperti bendera Israel menjadi kesalahan.
Sebelum itu, Mohd. Khairul Hafiz menjelaskan, tindakan sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan hanyalah gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF.
Video tersebut tular di aplikasi Tiktok dan media sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan perdebatan hangat dalam kalangan penduduk di negera ini.