PETALING JAYA: Perdana Menteri India, Narendra Modi hanya akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali masih diraikan di negaranya ketika ini.
Memaklumkan perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan Modi dalam perbicaraan telefon yang diterimanya malam tadi.
Katanya, antara lain, panggilan telefon itu turut membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia – India ke tahap lebih strategik dan menyeluruh.
“Kami turut menyentuh mengenai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini. Beliau memaklumkan akan menghadiri secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India pada ketika itu.
“Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata, India kekal sebagai rakan penting Malaysia di lapangan perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama erat di sektor teknologi, pendidikan serta keselamatan serantau.
“Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia – India dan meningkatkan lagi kerjasama ASEAN – India ke arah rantau yang lebih aman dan Makmur,” katanya. – UTUSAN









