PETALING JAYA: Sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal dijangka menerima lonjakan baharu dalam akses kepada pembiayaan patuh syariah.
Ia hasil kerjasama strategik antara microLEAP dan Halal Development Corporation Berhad (HDC) yang menyokong pelaksanaan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030).
Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, kerjasama itu merupakan penjajaran tepat antara hala tuju dasar negara dan pelaksanaan pasaran.
“Misi kami adalah membuka laluan pembiayaan yang adil, telus dan mudah diakses. Dengan Belanjawan 2026 yang menggariskan hala tuju jelas pertumbuhan yang mampan dan inklusif, pembiayaan patuh Syariah harus memainkan peranan utama dalam memperkasa PKS halal.
“Kerjasama dengan HDC membolehkan kami memperluas visi ini dengan membantu perniagaan mendapatkan pembiayaan untuk berkembang, mengeksport dan menyokong kepimpinan Malaysia dalam ekonomi Halal global,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, kerjasama itu akan membolehkan lebih 14,000 ahli berdaftar di bawah Platform Integrasi Halal (HIP) HDC mendapat akses kepada ekosistem pembiayaan patuh syariah microLEAP.
Sejak 2019, microLEAP telah menyalurkan lebih RM438.6 juta dalam pembiayaan patuh syariah kepada 357 PKS merangkumi sektor perdagangan, perkhidmatan, makanan dan minuman, teknologi serta kejuruteraan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, kerjasama itu mengukuhkan matlamat jangka panjang kerajaan untuk memajukan ekonomi Islam sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan negara.
“Belanjawan 2026 dan HIMP 2030 kedua-duanya mengiktiraf sektor halal sebagai pemangkin inovasi dan keterangkuman. Cabaran sebenar bagi perniagaan halal bukanlah sekadar mendapatkan pensijilan, tetapi akses kepada modal,” katanya.
Kata Hairoil lagi, Belanjawan 2026 dan HIMP 2030 turut mengiktiraf sektor halal sebagai pemangkin inovasi dan keterangkuman ekonomi negara. – UTUSAN










