KUALA LUMPUR: Pelakon, Shaheizy Sam mengakui bukan tugas mudah untuk meyakinkan penonton bahawa dirinya adalah lelaki pekak dan bisu dalam filem terbaharu berjudul Badak.
Menurut Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 43, selepas lebih tiga dekad mewarnai dunia perfileman tanah air, cabaran terbesar baginya adalah untuk ‘menghapuskan’ identiti Shaheizy Sam yang sudah sebati dalam fikiran penonton.
“Selama 30 tahun saya berlakon, tugas saya ialah untuk buat orang percaya siapa saya dalam sesebuah watak. Kalau saya Mat Rempit, saya mesti buat orang percaya saya Adnan Sempit.
“Kalau saya anggota polis, saya perlu yakinkan orang saya benar-benar Inspektor Khai. Tapi kali ini, saya perlu buat penonton percaya saya seorang yang pekak dan bisu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shaheizy Sam berkata, antara langkah awal yang diambil ialah mengubah penampilan fizikal dengan menambah berat badan agar penonton tidak lagi melihat penampilam Sam seperti dalam filem-filem terdahulu.
“Hasil perbincangan dengan pengarah, saya perlu tinggalkan terus imej ‘Shaheizy Sam’. Saya hanya ada tujuh bulan untuk ubah fizikal jadi lebih gempal supaya apabila muncul di layar perak, penonton melihat Badak, bukan saya,” jelasnya
Selain transformasi fizikal, Sam turut melengkapkan diri dengan menghadiri kelas bahasa isyarat selama tiga bulan serta meluangkan masa mendekati dan memerhati cara hidup komuniti kurang pendengaran.
“Saya perhatikan dari jauh cara mereka berkomunikasi. Walaupun menggunakan tangan, sebenarnya tumpuan mereka adalah pada mata dan ekspresi wajah.
“Mereka hanya melihat pergerakan tangan melalui ekor mata sahaja. Jadi saya belajar bahawa dalam bahasa, rasa dan ekspresi itu lebih penting daripada isyarat tangan semata-mata,” ujarnya.
Badak menandakan kolaborasi kedua Sam bersama pengarah M. Raihan Halim selepas filem La Luna. Menurut Sam, apabila diberitahu tentang tawaran untuk membawa watak mencabar ini, beliau tidak menolak walaupun sedar cabaran besar yang menanti.
“Saya tahu Raihan seorang pengarah yang suka bereksperimen. Watak seperti ini saya tidak akan dapat daripada mana-mana pengarah lain. Sebab itu, bila dia tawarkan, saya terus setuju,” katanya.
Filem Badak turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aida Amron, Wan Hanafi Su dan Kahoe Hon. Ia kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula semalam. -UTUSAN