SINGAPURA: Lando Norris mengakui dominasi McLaren dalam musim Formula Satu (F1) 2025 adalah lebih luar biasa kerana ia berlaku pada waktu yang sukar.
McLaren meraih kejuaraan pengeluar ke-10 mereka di Grand Prix (GP) Singapura minggu lalu dan kejayaan terbaru mereka itu sudah dijangka sejak permulaan musim yang dominan di Australia.
Walaupun peraturan teknikal kekal stabil sepanjang musim sejuk, McLaren berjaya mengatasi pesaing mereka malah MCL39 jelas merupakan jentera terbaik di grid dengan sedikit kelemahan.
Berbaki enam pusingan lagi, kemungkinan besar McLaren akan meraikan kejuaraan pemandu pertama mereka sejak Lewis Hamilton pada 2008.
Norris berkata, McLaren mengharungi musim mengagumkan, memandangkan peraturan yang stabil dan had kos yang dikuatkuasakan, faktor yang secara teori sepatutnya menjadikan musim 2025 lebih sengit dalam perebutan kejuaraan.
“Satu lagi (kejuaraan) adalah sesuatu yang hebat. Satu lagi kejuaraan pengeluar terasa sama seperti yang pertama kerana untuk meraih yang pertama adalah satu pencapaian besar jika dilihat di mana kami berada tiga tahun lalu.
“Kami telah mengatasi setiap pasukan dari segi pembangunan. Kami telah mengatasi mereka dengan jauh dalam aspek pembangunan dan pada waktu yang hampir mustahil untuk dilakukan.
“Ada lebih banyak sekatan, kurang masa terowong angin, semua perkara itu. Had bajet, mungkin lebih memihak kepada kami dalam lima tahun kebelakangan ini berbanding bajet yang boleh digunakan oleh pasukan lain.
“Tetapi dalam masa yang sepatutnya lebih sukar untuk mendominasi, itulah yang telah dilakukan oleh pasukan dan mereka telah memberikan kami dengan jarak yang besar, kereta terbaik di grid. Itu sentiasa sesuatu yang menyenangkan untuk dikatakan,” katanya. – AGENSI