KUALA LUMPUR: Tiga pempengaruh media sosial, Mat Alip, Imranul Effendy dan Fareez Fauzi dinobatkan sebagai juara All Star Championship 2025 dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta trip eksklusif ke Dubai untuk mewakili Malaysia dalam siri pertarungan antarabangsa.
Pertandingan anjuran All Star Influencer Sdn. Bhd. itu menyaksikan aksi sengit dan penuh disiplin antara pempengaruh terkenal tanah air yang bukan sahaja aktif di media sosial, tetapi turut membuktikan kemampuan mereka di arena kecergasan dan sukan kompetitif.
Dalam kategori Flyweight, Mat Alip berjaya menewaskan Oyot dengan kelebihan ketahanan dan teknik serangan tepat. Imranul Effendy pula mengungguli kategori Lightweight selepas menumpaskan Amir, manakala Fareez Fauzi tampil garang untuk menewaskan Sheikh Sonic, sekali gus bergelar juara Midweight.
Kejohanan turut diserikan dengan penampilan khas dari Indonesia, apabila pempengaruh terkenal Yusman Kusuma berentap menentang Fahmi yang mencuri perhatian penonton dengan aksi penuh semangat dan semarak persahabatan dua negara.
Menurut penganjur All Star Championship 2025, Datuk Abd Rahman Soltan, kejayaan penganjuran kali ini jelas terbukti melalui sambutan luar biasa dan semangat tinggi ditunjukkan para peserta.
“Peserta berlatih bersungguh-sungguh walaupun ramai bermula dari kosong. Mereka bukan bermain-main. Disiplin dan semangat mereka benar-benar mengagumkan,” katanya.
Tambahnya, kejohanan ini juga menggabungkan unsur sukan dan digital selaras dengan usaha
mempromosikan pelancongan domestik melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia dan
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersempena Tahun Melawat Malaysia
2026.
“Kejohanan ini bukan sahaja mengetengahkan bakat baharu dalam dunia kecergasan, tetapi juga berjaya menggabungkan sukan dan dunia digital, apabila mencatat tontonan tinggi sepanjang siaran langsung di platform media sosial.
“Kejohanan ini membuktikan bahawa dunia sukan dan digital boleh bergerak seiring. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk mendidik, menginspirasi dan menyemai semangat juang anak muda,” katanya.
Majlis kemuncak turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan pempengaruh dari All Star Influencer Award (Asia 2025) yang hadir memberi sokongan moral kepada para peserta, menjadikan suasana lebih meriah dan berprestij.
Sementara itu, juara Flyweight, Mat Alip berkata kemenangan tersebut adalah bukti bahawa pempengaruh juga mampu bersaing secara fizikal dengan disiplin dan fokus yang tinggi.
“Saya mahu buktikan bahawa pempengaruh bukan sekadar di depan kamera, tetapi juga mampu beraksi di gelanggang sebenar,” katanya.
Imranul, juara Lightweight, pula mengakui laluan ke kejayaan bukan mudah apabila perlu menurunkan berat badan dari 75 kilogram ke 65 kilogram menjelang pertandingan.
“Ia perjalanan yang sukar, tapi saya jadikan setiap cabaran itu sebagai motivasi. Kemenangan ini saya hadiahkan kepada ibu dan pasukan saya,” ujarnya.
Sementara itu, juara Midweight, Fareez yang juga aktor,, menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerja keras dan kepercayaan terhadap proses latihan yang panjang.
“Saya bermula tanpa banyak pengalaman dalam pertandingan seperti ini, tapi saya percaya dengan usaha konsisten. Hari ini, semua pengorbanan itu berbaloi,” katanya.
Ketiga-tiga juara All Star Championship 2025 akan diterbangkan ke Dubai bagi mewakili Malaysia dalam pertarungan peringkat antarabangsa menentang pemenang luar negara yang juga satu peluang besar untuk mengangkat nama pempengaruh tempatan ke pentas global.-UTUSAN










