PETALING JAYA : Institusi kewangan perlu bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha membanteras jenayah rasuah kewangan termasuk aktiviti pengubahan wang haram yang semakin kompleks.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama dengan pihak bank penting bagi memperkukuh kefahaman serta keupayaan sektor berkenaan memahami isu integriti dan tadbir urus yang berkesan.
“Masih banyak institusi kewangan yang belum memahami sepenuhnya isu integriti dan rasuah ini,” katanya ketika menerima kunjungan hormat delegasi SME Bank di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, masyarakat sering beranggapan SPRM hanya menumpukan kepada aspek siasatan dan pendakwaan, sedangkan pencegahan serta jalinan kerjasama strategik antara agensi turut menjadi fokus utama pihaknya.
Sementara itu, Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain Abdul Majid berkata, pihaknya telah membangunkan program Integrity Credential Program (ICP) bersama Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Katanya, modul program berkenaan merangkumi bidang utama seperti undang-undang antirasuah, Seksyen 17A Akta SPRM 2009, antimoney laundering dan pembiayaan keganasan (AML/CFT), serta pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah ISO 37001 (ABMS).
SME Bank turut membangunkan modul khas yang memberi tumpuan kepada pengurusan integriti dalaman, penilaian risiko rasuah dan tatacara pendedahan salah laku.










