Malaysia tuntut Israel bertanggungjawab, bela keselamatan sukarelawan - Anwar

Malaysia tuntut Israel bertanggungjawab, bela keselamatan sukarelawan – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bekalan bantuan ke Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia akan menggunakan segala saluran sah yang ada untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya apabila ia membabitkan keselamatan rakyat negara ini.

“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan, dan Malaysia tidak akan membiarkan ia digadai begitu sahaja tanpa sebarang pembelaan,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Anwar, kapal-kapal yang dinaiki sukarelawan antarabangsa itu membawa rakyat awam yang tidak bersenjata serta bekalan penting untuk menyelamatkan nyawa penduduk Palestin.

Bagaimanapun, kapal misi ini dihalang dengan tindakan ugutan dan paksaan rejim Zionis.

“Tindakan Israel menyekat misi kemanusiaan ini jelas menunjukkan penghinaan terhadap hak rakyat Palestin, malah mencabar suara hati nurani seluruh dunia.

“Flotilla ini melambangkan solidariti, kasih sayang dan harapan untuk meringankan beban mereka yang hidup di bawah kepungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, selagi rakyat Palestin terus dinafikan hak asasi dan aspirasi mereka, Malaysia tidak akan berganjak daripada pendirian teguh menyokong perjuangan mereka.

“Kita tidak akan berkompromi dalam menuntut keadilan serta menamatkan penindasan dan perampasan hak yang menimpa Palestin sejak berdekad-dekad lamanya,” katanya.

Terdahulu, seramai 10 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel setakat ini, dengan dua rakyat negara ini iaitu Farah Lee dan Danish Nazram merupakan individu terbaharu sudah ditahan Israel.

Lapan delegasi Malaysia lain telah ditahan Israel adalah Pelakon Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga, manakala Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli daripada kapal Sirius.

Selain itu, Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil daripada kapal Alma.

Semua kapal itu sebelum ini dipintas dipintas dan dinaiki tentera Israel di perairan antarabangsa dalam usaha GSF untuk memasuki Gaza melalui laluan sah.

Semalam, GSF telah memasuki zon merah yang merupakan laluan ke Gaza dan mereka dijadual tiba petang ini – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN