Malaysia tiada komunikasi terus dengan Israel, hanya guna negara ketiga

Malaysia tiada komunikasi terus dengan Israel, hanya guna negara ketiga

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Luar menjelaskan Malaysia tidak ada sebarang hubungan komunikasi terus dengan Israel terutama bagi berunding mengenai pembebasan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF).

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, secara dasarnya, Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia menerusi Wisma Putra menggunakan pihak ketiga seperti wakil Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (Adalah) bagi berhubung dengan Israel.

“Kita tidak ada komunikasi terus dengan pihak Israel kerana tidak ada hubungan diplomatik dan kita tidak buat apa-apa hubungan dengan mereka.

“Hubungan kita (dengan Israel) melalui pihak ketiga sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai persoalan berkaitan rundingan dibuat Malaysia dalam usaha membawa pulang seramai 23 rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika misi GSF.

Mohamad berkata, pihaknya juga terputus hubungan dengan aktivis GSF yang ditahan Israel selepas kumpulan itu ditahan di dalam penjara Israel.

“Perantara kita ialah pasukan Adalah yang dilantik oleh SNCC untuk jadi penasihat undang-undang sekiranya berlaku perkara yang kita jangkakan.

“Itulah sebabnya peserta GSF telah diberikan taklimat dengan rapi apa mereka perlu buat (apabila ditahan) supaya tidak timbul provokasi,” katanya.

Katanya, pihaknya juga perlu menunggu dalam tempoh sehari dua untuk perwakilan berhubung dengan Israel susulan cuti di negara tersebut berikutan sambutan perayaan Yom Kippur.

“Mereka tutup semua, jadi kita tidak dapat berhubung. Kita harap Isnin jika pejabat buka di sana, kita dapat berhubung. Tetapi hubungan kita melalui wakil perantaraan itu sentiasa dalam keadaan yang amat baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN