KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai peneraju utama dalam memperkasa sistem keselamatan sosial global selepas Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dipilih semula sebagai Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) bagi penggal kedua.
Pemilihan semula ini membuktikan pengiktirafan dunia terhadap Malaysia sekali gus mengukuhkan komitmen negara terhadap prinsip keadilan, daya tahan dan inovasi dalam perlindungan sosial global.
Sepanjang penggal pertamanya, Dr. Mohammed Azman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah meletakkan ISSA sebagai pusat dialog global, mempengaruhi dasar serta menjalin kerjasama dengan pelbagai organisasi antarabangsa.
Antara kerjasama itu termasuklah dengan Kumpulan G20, BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan), Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) serta Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Pada masa sama, beliau turut memperjuangkan prinsip ‘pencegahan sebelum pemulihan, pemulihan sebelum pampasan’ yang bukan sahaja menjadi aspirasi, malah diterjemahkan sebagai amalan antarabangsa yang memulihkan kehidupan, maruah dan harapan pekerja di seluruh dunia.
Menurut Dr. Mohammed Azman, pemilihan semula itu merupakan pengiktirafan besar yang mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap hala tuju ISSA.
Katanya, misi besar yang digalas bersama mandat itu adalah untuk membela nasib 3.8 bilion masyarakat dunia yang masih belum mendapat perlindungan keselamatan sosial.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa fokus utama bukan sekadar melindungi, tetapi juga memperkasa melalui kerjasama global supaya tiada mana-mana pihak yang tercicir.
“Sistem keselamatan sosial kini berdepan cabaran mendesak termasuk kejutan iklim yang menjejaskan mata pencarian, penuaan populasi yang memberi tekanan kepada sistem kesihatan dan perkhidmatan sosial serta kemunculan bentuk pekerjaan baharu yang menggugat model sumbangan tradisional.
“Isu-isu ini sedang memperluaskan jurang ketidaksamaan dan risiko pengecualian, di samping cabaran besar melindungi pekerja migran dan memastikan manfaat mereka boleh dibawa merentasi sempadan,” katanya.
PERKESO TANGANI DIABETES
Sementara itu, Perkeso terpaksa membelanjakan kira-kira RM421 juta setiap tahun bagi menangani kes diabetes dan penyakit berkaitan gula yang semakin meningkat di negara ini.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mendedahkan perbelanjaan itu sebahagian besarnya meliputi rawatan serta faedah berkaitan komplikasi akibat pengambilan gula berlebihan.
“Malaysia adalah antara negara ‘paling manis’ di dunia. Kita memang orang yang manis tetapi kerana gula dan diabetes, ia menyebabkan Perkeso menanggung kos hampir RM421 juta setahun,” katanya pada sesi panel Forum Keselamatan Sosial Dunia (WSSF) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Mengulas usaha menangani masalah itu, Sim berkata, Perkeso melancarkan kempen antigula peringkat kebangsaan pada tahun lalu dengan menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma dan program kesedaran kepada pekerja.
“Pendekatan kerajaan bukan sekadar bertindak selepas pekerja cedera atau sakit, sebaliknya memberi tumpuan kepada pencegahan.
“Kita tidak mahu hanya hadir ketika kemalangan berlaku. Kita mahu menyumbang secara aktif dalam mengurangkan kecederaan di tempat kerja, kemalangan jalan raya dan penyakit pekerjaan sebelum ia terjadi,” katanya.
Sim turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan rancangan membentangkan rang undang-undang untuk meluaskan perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja Malaysia.
Katanya, langkah itu penting bagi menangani isu keletihan, tekanan dan risiko kesihatan yang melangkaui waktu bekerja.
“Perkeso berusaha mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan melalui operasi fasiliti dalaman termasuk pusat dialisis dan pusat pemulihan canggih.
“Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan, malah memperluaskan akses penjagaan kesihatan kepada pekerja yang dilindungi,” katanya.
WSSF 2025: PERKASA PERLINDUNGAN SOSIAL
Penganjuran WSSF 2025 disifatkan sebagai kejayaan hasil kerja berpasukan serta pengorbanan ramai pihak dalam memastikan forum itu mencapai matlamatnya.
Dr. Mohammed Azman berkata, sepanjang lima hari berlangsungnya forum berkenaan, peserta telah merentasi benua untuk meneroka pelbagai idea, inovasi dan masa depan keselamatan sosial secara bersama.
“Setiap permulaan akan berakhir di garisan penamat dan apabila kita bersiap sedia untuk mengucapkan selamat tinggal, janganlah kita anggap ini sebagai pengakhiran forum. Sebaliknya, anggaplah ini sebagai permulaan kepada tindakan baharu,” katanya. – UTUSAN










