Malaysia sokong Pelan Damai AS secara bersyarat

Malaysia sokong Pelan Damai AS secara bersyarat

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong Pelan Damai yang dirintis Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump secara bersyarat selagi ia menjamin hak-hak rakyat Palestin dan menghentikan penderitaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu masih konsisten dengan dasar luar Malaysia yang menuntut keadilan, kemanusiaan dan kedaulatan Palestin.

Oleh itu, tegasnya, Malaysia tidak menerima pelan secara menyeluruh tetapi menyokong usaha damai secara bersyarat dengan menentang keganasan dan penjajahan Israel.

“Kita masih teguh dengan pendirian menyokong penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan mahu penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa. Isu wilayah termasuk Tebing Barat perlu diselesaikan serta mengembalikan hak pelarian Palestin yang terusir dari Gaza dan wilayah lain.

“Pendekatan ini juga melalui dua peringkat, pertama hentikan serangan dan buka laluan bantuan kemanusiaan. Peringkat kedua, rundingan menyeluruh untuk penyelesaian konflik berasaskan undang-undang antarabangsa dan konvensyen dunia,” katanya semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai pendirian kerajaan terhadap Pelan Damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin-Israel serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu.

Anwar berkata, Malaysia menyambut baik usaha damai yang turut disokong oleh negara-negara seperti Mesir, Qatar, Jordan, serta wakil dari Hamas dan Israel.

Katanya, Hamas turut memberikan maklum balas bertulis kepada Malaysia, menyokong inisiatif perdamaian selagi kepentingan Palestin dipertahankan.

“Malaysia menekankan pembunuhan dan pengeboman rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak mesti dihentikan segera.

“Keadaan kemanusiaan di Gaza sangat kritikal, hampir kebuluran. Maka, bantuan makanan, minuman dan ubat-ubatan mesti segera disalurkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN