Malaysia harap tarif E&E kekal sifar

Malaysia harap tarif E&E kekal sifar

MOHAMAD Hasan dalam sidang akhbar pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia berharap kadar sifar tarif bagi produk elektrik dan elektronik (E&E) dapat dikekalkan dalam perjanjian perdagangan baharu yang bakal dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) esok.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perjanjian itu dijangka memberi manfaat kepada sektor eksport negara memandangkan E&E merangkumi hampir 60 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia ke AS ketika ini.

“Perjanjian ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dan kami berharap ia dapat dimuktamadkan dengan baik.

“Jika kadar sifar tarif bagi E&E dapat dikekalkan, kami amat berpuas hati,” katanya pada sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, di sini hari ini.

Menurut Mohamad, walaupun beberapa negara ASEAN turut menjalin hubungan perdagangan dengan AS, pihaknya tidak dapat mengeluarkan kenyataan bagi negara lain.

“Bagi negara ASEAN lain, saya tidak dapat bercakap bagi pihak mereka. Namun bagi Malaysia dan AS, perjanjian perdagangan kita akan dimeterai esok,” katanya.

Mengulas kemungkinan ASEAN mengeluarkan kenyataan bersama berhubung konflik perdagangan dengan AS, Mohamad berkata, isu tersebut tidak dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat kali ini.

“Adalah lebih baik setiap negara mempunyai pendirian sendiri dan berurusan secara langsung dengan AS. Saya percaya Presiden Donald Trump lebih selesa berurusan secara dua hala berbanding pelbagai hala.

“Oleh itu, tiada kenyataan bersama akan dikeluarkan ASEAN mengenai isu berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN