Nama pelakon muda, Arfie Shah, mungkin masih baharu dalam radar hiburan tempatan, namun rezekinya dalam bidang lakonan boleh dikatakan cukup luas.
Terbaharu, bintang ini mengumumkan bakal terbang ke Taiwan bagi menjayakan penggambaran drama bersiri popular Mad Doctor 2, sekali gus mengukuhkan lagi jejaknya di pentas antarabangsa.
Namun, di sebalik pencapaian yang boleh dianggap pantas untuk seorang pendatang baharu, Arfie tetap membumi.
Katanya, soal bayaran bukan perkara utama untuk dijadikan ukuran kejayaan.
“Saya tak kisah. Sekarang ini, Alhamdulillah bayaran cukup makan, masih okey. Itu dah memadai. Tapi jujur, soal duit bukan yang pertama saya fikirkan jika berbicara bab kerja seni.
“Sebab saya sedar diri bahawa saya ini bukan siapa-siapa lagi. Belum benar-benar popular. Saya dalam proses belajar dan mahu cari pengalaman, mahu belajar apa sahaja yang boleh menjadikan saya pelakon lebih baik satu hari nanti,”katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas soal perjalanan seni yang kelihatan mudah untuknya, Arfie akui segalanya adalah berkat doa dan rezeki yang ditentukan Allah.
“Saya berterus-terang, rasa sangat diberkati dengan apa yang berlaku tahun ini, syukur. Ada orang lima tahun, sepuluh tahun masih belum jumpa jalan. Saya pula dipermudahkan.
“Mungkin doa mak ayah, mungkin juga sebab ada benda baik yang saya buat dalam hidup. Semuanya rezeki,”katanya.
Tambahnya lagi, sejak mula menceburi bidang lakonan, dia tidak pernah mengejar job semata-mata.
“Daripada awal, saya tak pernah fikir pasal job. Saya cuma fikir macam mana nak terus memperbaiki diri. Macam mana nak faham dunia lakonan.
“Bila saya fokus begitu, kerja itu datang sendiri. Saya sendiri tak tahu kenapa, tapi itu yang jadi. Sebab itu kadang-kadang, kalau berbual dengan rakan lain, saya nasihatkan jangan cepat putus asa.
“Sampai masa, ia sampai. Insya-Allah rezeki itu akan ada. Tapi kena ikhlas dalam mencari, ikhlas dalam membina, ikhlas dalam berkarya. Itu semua datang daripada Allah,”ujarnya.
Sementara itu, berbicara mengenai langkahnya ke Taiwan nanti, Arfie mengakui dirinya sendiri terkejut apabila menerima tawaran produksi dari Taiwan kerana tidak pernah menjangka nama kecilnya sampai ke negara tersebut.
“Sebenarnya saya tak tahu bagaimana produksi Taiwan boleh kenal saya. Memang langsung tak tahu. Mungkin ada produksi Malaysia yang jual dengan mereka.
“Tapi ya, bulan depan saya akan ke Taiwan untuk jalani penggamabaran drama Taiwan iaitu Mad Doctor musim kedua.
“Musim pertama memang viral di Taiwan, tapi saya sendiri belum tengok lagi,”katanya.
Menurut Arfie, penggambaran bakal bermula Oktober ini dan berlangsung selama 10 hari di Taiwan sebelum diteruskan di Malaysia selama dua minggu.
“Setakat ini saya dah dapat skrip, tapi belum sempat baca dengan teliti.
“Sekarang saya masih sibuk dengan drama tempatan, jadi saya tak nak kacau mental dan keluar daripada karakter yang sedang saya bawa. Bila projek di Malaysia selesai, baru saya akan fokus penuh.
“Saya anggap ini peluang besar. Saya nak belajar daripada produksi luar. Tengok budaya kerja mereka dan bagaimana saya boleh perbaiki mutu lakonan saya,”jelasnya.
Selain Taiwan, pelakon ini turut menerima tawaran projek mega dari Singapura berjudul Takhta Lima Raja, sebuah naskhah bersiri epik tentang raja-raja dari zaman Sang Nila Utama hingga Parameswara.
“Saya akan pegang watak raja pertama. Ceritanya mengisahkan lima raja bermula dari Sang Nila Utama, pengasas Singapura, sehingga ke Parameswara. Ia merupakan sebuah naskhah epik.Saya rasa ini projek yang akan jadi siri panjang.
“Saya teruja sebab dapat belajar banyak benda baharu. Ia juga jadi platform untuk saya bina nama, bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ini,”akhirinya.