KULAI: Hasrat seorang pesara membeli gelang emas lelong pada harga murah iaitu RM75 tidak kesampaian apabila menjadi mangsa penipuan sehingga mengalami kerugian RM175,305.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa seorang wanita tempatan berusia 55 tahun mendakwa terlihat iklan yang menawarkan emas lelong pada harga murah di laman sosial Facebook.
“Mangsa yang berminat membeli gelang emas berharga RM75 kemudian menekan pautan diberi sebelum nombor telefonnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan di aplikasi Telegram dan mula berhubung dengan seorang wanita dikenali sebagai Nurul Aliya.
“Mangsa diminta membayar RM655 bagi urusan harga jualan emas dan bayaran proses penghantaran serta pelbagai alasan pembayaran lain seperti cukai kastam, cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), duti eksais.
“Sehubungan itu, mangsa membuat 35 transaksi kewangan ke dalam beberapa akaun bank tempatan berjumlah keseluruhan RM175,305 sejak 6 Oktober lalu hingga kelmarin,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Seng Lee, mangsa hanya menyedari telah ditipu apabila dia masih diminta membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan rantai emas berkenaan.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis kerana percaya dirinya telah diperdayakan sindiket penipuan,” ujarnya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.