PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid dalam keputusannya telah mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri adalah tidak sah, ultra vires dan tidak rasional serta melanggar Perlembagaan.
“Adalah tidak sah bagi pihak Persekutuan untuk membuat pemberian khas sebagaimana yang dimaksudkan di bawah Jadual Kesepuluh,” katanya.
Mahkamah turut mendapati, Perintah Semakan Kedua dan Ketiga yang dikeluarkan oleh kedua-dua kerajaan adalah tidak sah dan membenarkan permohonan sepenuhnya oleh Sabah Law Society (SLS).
Selain itu, mahkamah mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Putrajaya menjalankan semakan hasil baharu bersama kerajaan negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan serta bersetuju mengenai hak 40 peratus negeri bagi setiap tahun kewangan dari 1974 hingga 2021.
Semakan itu perlu dimulakan dalam tempoh 90 hari dan diselesaikan dalam masa 180 hari.
Dalam ada itu, mahkamah menerima permohonan SLS untuk mengiktiraf Perintah Semakan Keempat yang diwartakan pada 27 Ogos 2025 dengan menyatakan bahawa perintah itu mempunyai kesan yang sama seperti perintah terdahulu dan perlu dimasukkan bagi melengkapkan perintah certiorari akhir.
SLS diwakili oleh peguam David Fung, Jeyan Marimuttu dan Janice Junie Lim manakala Kerajaan Persekutuan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi, Nur Atirah Aiman Rahim dan Solehheen Zaki serta kerajaan negeri diwakili oleh Pejabat Peguam Besar Negeri Sabah diketuai oleh Brenndon Keith Soh.
Peguam Persekutuan kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa kerajaan akan memfailkan permohonan rasmi untuk penangguhan pelaksanaan sementara menunggu arahan lanjut.
Kes tersebut dimulakan oleh SLS pada Jun 2022, apabila badan itu memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar kegagalan kerajaan Persekutuan menegakkan hak hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Formula perkongsian hasil itu menjadi isu berbangkit selama beberapa dekad ekoran ahli politik Sabah menuntut agar kerajaan Persekutuan menunaikan hak negeri itu bagi 40 peratus daripada jumlah yang melebihi hasil bersih yang diperoleh pada 1963.
Penggunaan formula tersebut digantung sejak 1974 apabila kerajaan Persekutuan sebaliknya menaikkan pembayaran pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak.










