Madu gelam tangani gejala menopaus secara alami

Madu gelam tangani gejala menopaus secara alami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menopaus adalah fasa semulajadi yang sarat cabaran bagi wanita yang melalui fasa putus haid iaitu sebahagian daripada perjalanan hidup yang biasanya berlaku sekitar usia 45 hingga 55 tahun.

Menopaus menandakan berakhirnya kitaran haid, namun lebih daripada itu, ia membabitkan perubahan fisiologi yang mendalam akibat penurunan hormon estrogen. Proses ini datang bersama gejala yang tidak mudah dihadapi.

Antara gejalanya, wanita sering berdepan rasa panas badan secara tiba-tiba, berpeluh pada waktu malam, perubahan emosi mendadak dan masalah kesukaran untuk tidur. Ada juga yang mengalami ketidakselesaan dalam hubungan intim akibat dinding vagina menipis.

Pensyarah dan Pakar Fisiologi, Jabatan Fisiologi Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Siti Fatimah Ibrahim berkata, gejala-gejala ini bukan sahaja memberi kesan ke atas fizikal tetapi juga mengganggu kesejahteraan emosi dan psikologi.

 

 

“Ramai wanita merasakan diri berubah secara mendadak, sekali gus menjejaskan keyakinan diri dan kualiti hidup seharian. Justeru, ia tidak boleh dibiarkan tanpa rawatan sekiranya gejala ini menganggu aktiviti seharian.

“Buat masa ini, Terapi Hormon Menopaus (MHT) menjadi rawatan paling lazim untuk mengurangkan gejala menopaus. Ia terbukti berkesan kerana mampu menambah semula estrogen dalam badan. Namun, penggunaan jangka panjang MHT menimbulkan kebimbangan,” katanya.

Katanya, kajian menunjukkan wanita yang mengamalkan MHT mungkin berdepan risiko lebih tinggi mendapat kanser payudara, strok, pembekuan darah serta penyakit jantung. Selain itu, kesan sampingan seperti loya, sakit kepala, kembung perut dan perubahan mood membuatkan sesetengah wanita kurang selesa untuk meneruskannya.

Justeru, tidak hairanlah ramai wanita mencari alternatif lebih semulajadi kerana bimbang dengan risiko kesan sampingan yang mungkin berlaku di kemudian hari sekiranya rawatan itu tidak sesuai untuk mereka.

Sebagai rawatan alternatif, Dr. Siti Fatimah dan Pensyarah dan Pakar Fisiologi Reproduktif Fakulti Perubatan, UKM, Prof. Madya Dr. Mohd. Helmy Mokhtar, menjalankan kajian mengenai keberkesanan menggunakan madu warisan alam yang sarat khasiat untuk meredakan gejala menopaus.

Dr. Mohd. Helmy berkata, madu sejak beribu tahun dahulu sudah digunakan dalam rawatan tradisional di seluruh dunia. Ia bukan sekadar pemanis tetapi juga dianggap penawar yang dikaitkan dengan sifat antioksidan, anti-radang dan anti-mikrob.

Katanya, apa yang menarik, beberapa kajian mendapati madu mengandungi sebatian bioaktif yang menyerupai tindakan hormon estrogen. Ini memberi harapan baharu bahawa madu boleh membantu menstabilkan hormon wanita ketika menopaus.

“Malaysia pula kaya dengan pelbagai jenis madu hutan, antaranya Madu Tualang, Madu Kelulut dan Madu Gelam. Setiap satunya memiliki keunikan tersendiri dengan kandungan antioksidan yang tinggi serta sifat anti-radang yang berpotensi menyumbang kepada manfaat kesihatan.

“Madu Gelam adalah permata dari Pantai Timur khususnya berasal daripada nektar pokok Gelam yang tumbuh di kawasan pantai berawa, terutamanya di Terengganu. Lebah liar, Apis dorsata membina sarang besar di pokok Gelam, menghasilkan madu yang pekat, beraroma kuat dan kaya dengan antioksidan,” katanya.

Dalam kajian yang dijalankan mereka mendapati, tikus yang diaruh menopaus diberi Madu Gelam setiap hari selama 14 hari. Tempoh ini dipilih bagi membolehkan penilaian kesan jangka pendek madu terhadap perubahan fisiologi akibat kekurangan estrogen.

Penyelidik memerhatikan pelbagai parameter seperti keadaan tisu vagina dan rahim, serta paras hormon estrogen dalam darah. Keputusan kajian ini memberi gambaran awal mengenai keberkesanan madu gelam dalam menangani gejala menopaus.

“Lebih penting lagi, kajian ini sudah diterbitkan dalam dua jurnal antarabangsa berimpak tinggi iaitu Molecules dan Frontiers in Endocrinology, sekali gus mengukuhkan kredibiliti dapatan penyelidikan ini di peringkat antarabangsa.

“Harapan baharu untuk Wanita selepas 14 hari rawatan, hasilnya amat memberangsangkan. Madu Gelam didapati membantu mengurangkan penipisan dan keradangan pada dinding vagina dan rahim tikus menopaus,” katanya.

Selain itu, paras hormon estrogen dalam darah meningkat dengan ketara, sekali gus mengurangkan kesan kekurangan hormon yang menjadi punca utama gejala menopaus.

Lebih menarik, Madu Gelam juga merangsang pembentukan salur darah baharu yang seterusnya menyumbang kepada penebalan semula lapisan dinding rahim dan vagina. Penemuan ini menunjukkan kesan yang hampir sama dengan estrogen.

Bagaimanapun Dr. Mohd. Helmy menegaskan, walaupun kajian ini jelas membuktikan potensi madu gelam sebagai agen semula jadi yang mampu mengurangkan gejala menopaus, ia tidak boleh menggantikan terapi moden sepenuhnya sebaliknya, ia boleh dijadikan rawatan komplementari atau tambahan.

Ujian keberkesanan ke atas manusia

Dr. Siti Fatimah pula memberitahu, langkah seterusnya adalah menjalankan ujian klinikal pada manusia kerana hanya melalui ujian berkenaan, keberkesanan sebenar dan dos selamat dapat dipastikan.

“Kejayaan awal ini menjadi asas kukuh untuk terus mengangkat madu gelam sebagai salah satu pilihan rawatan semula jadi bagi wanita menopaus, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat global.
“Penemuan ini bukan sahaja memberi harapan baharu kepada wanita menopaus tetapi juga membuka peluang besar kepada industri madu tempatan. Jika terbukti berkesan melalui ujian klinikal, permintaan terhadap madu gelam berpotensi meningkat, sekali gus membantu menjana ekonomi pekebun dan pengusaha madu di negara ini,”katanya.

Katanya lagi, pada masa sama, ia akan mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam menghasilkan rawatan semula jadi yang disokong bukti saintifik. Hal ini sekali gus meningkatkan reputasi akademik negara di peringkat antarabangsa.

Walaupun kajian ini masih berada pada peringkat pra-klinikal menggunakan model haiwan, ia memberikan asas kukuh untuk kajian lanjutan berbentuk ujian klinikal pada manusia.

Kajian ini bakal menentukan keberkesanan sebenar madu gelam dalam kalangan wanita menopaus serta potensi penggunaannya sebagai rawatan alternatif dalam sistem kesihatan moden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×