KUALA LUMPUR: Usahawan terkenal, Madam Maryah sah bercerai talak satu dengan suaminya yang hanya dikenali sebagai Mr. S di Mahkamah Syariah Johor Bahru.
Maryah yang hadir ke mahkamah bersama pembantu peribadi dan peguamnya Selasa lalu mendedahkan, lafaz cerai tersebut menjadi titik noktah kepada rumah tangganya yang dibina hampir 20 tahun.
“Secara rasminya, semalam saya sah bercerai dengan Mr. S dengan talak satu. Bukan seperti yang orang kata talak tiga atau sepuluh, tetapi hanya talak satu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Mariyah mendakwa punca keruntuhan rumah tangganya adalah disebabkan kewujudan orang ketiga.
“Saya sedih sebab saya nampak sendiri Mr. S dengan penyondol itu dalam kereta. Dia sendiri mengaku depan saya dan depan ‘penyondol’ itu yang dia sayangkan perempuan tu.
“Masa tu saya terjah. Isteri mana yang tak terkejut bila nampak suami sendiri dengan perempuan lain? Tapi dia pertahankan perempuan itu sampai sanggup tolak saya sampai jatuh dan kepala saya berdarah.
“Saya bukan nak buka aib. Saya tak pernah minta duit. Saya cuma nak dihargai dan disayangi. Kalau seorang suami itu baik, dia akan pertahankan rumah tangga dia,” ujarnya.
Tambah Madam Maryah, dalam prosiding tersebut, pihaknya mengemukakan tuntutan melibatkan hak penjagaan anak-anak, nafkah edah dan nafkah muta’ah namun ditolak Mr. S.
“Dia menolak semua tuntutan dengan alasan perbicaraan hari itu hanya untuk pengesahan penceraian semata-mata, manakala tuntutan lain perlu difailkan kemudian.
“Saya sudah menunggu sejak Mei hingga September. Semalam adalah kali pertama saya mendengar semula suara seorang lelaki yang pernah hidup bersama saya hampir 20 tahun, melafazkan talak satu. Itu pengakhirannya untuk saya.
“Tapi saya tertanya, kenapa dia tidak mahu memudahkan urusan? Hari itu juga boleh selesai semuanya, tetapi dia tetap tidak mahu,” luahnya.
Maryah turut mempersoalkan tindakan bekas suaminya yang membawa pengawal peribadi ke mahkamah dengan alasan bimbang diserang olehnya.
“Saya tidak pernah serang dia. Kalau mahu, lima atau enam bulan lalu ketika dia tidak balik rumah, saya boleh saja pergi ke pejabatnya. Tapi saya tidak buat sebab saya mahu selesaikan cara baik.
“Mungkin kita tidak boleh jadi suami isteri yang baik, tetapi saya fikir kita masih boleh jadi sahabat demi anak.
“Namun, dia tetap tidak mahu. Jadi kami terpaksa failkan tuntutan kemudian dan itu bermakna kos tambahan perlu dikeluarkan lagi,” katanya.
Jelas Maryah lagi, buat masa ini, dia hanya mahu memfokus pada perniagaannya, AuraMaria selepas mengalami episod depresi sehingga hampir membahayakan diri sendiri.
“Saya mengalami depresi yang teruk sampai makan ubat tidur beratus biji. Saya sampai terfikir nak ambil nyawa sendiri. Saya kurung diri dan suka duduk dalam gelap. Namun, dengan sokongan orang sekeliling dan demi anak-anak, saya bangkit. Maka tercetus idea untuk keluarkan Kopi Che’lims.
“Sekarang, saya mahu fokus dengan bisnes. Saya sekarang lebih mencintai diri sendiri daripada mencintai orang lain,” ujarnya.-UTUSAN