Maahad Tahfiz Lipis, ketiga di Pahang beroperasi tahun depan

Maahad Tahfiz Lipis, ketiga di Pahang beroperasi tahun depan

MUSTAPA Long (tengah) dan Ahmad Munawar Abdul Jalil (dua dari kiri) melakukan gimik perasmian Program Celebrating Milestone Achievement of 100,000 Safe Man-Hours Without LTI di tapak MTNP Cawangan Lipis, Kampung Bapong, Lipis baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) Cawangan Lipis bakal beroperasi tahun depan menjadi pusat tahfiz ketiga di negeri ini selepas Tanjung Lumpur dan Turath Balok di Kuantan.

Maahad Tahfiz ini sekali gus mengukuhkan lagi peranan institusi pendidikan Islam dalam melahirkan generasi huffaz di Pahang.

Projek bernilai RM14.7 juta itu dijangka siap 10 bulan lebih awal, iaitu pada November ini berbanding jangkaan asal Ogos 2026, sebelum mula menerima pelajar seawal tahun depan.

Lebih membanggakan, pembinaan MTNP Lipis turut mencatatkan 100,000 jam kerja selamat tanpa sebarang kecederaan.

Pengerusi Lembaga Pengarah IASC Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil berkata, pencapaian itu membuktikan budaya keselamatan dan disiplin kerja yang diterapkan Kumpulan Yayasan Pahang (YP) membuahkan hasil luar biasa.

“MTNP Lipis bukan sekadar projek pembangunan fizikal, malah menjadi simbol komitmen YP menjaga kebajikan tenaga kerja serta memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Pelajar selepas Program Celebrating Milestone Achievement of 100,000 Safe Man-Hours Without LTI yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long di tapak projek berkenaan di Kampung Bapong, Lipis baru-baru ini.

Ahmad Munawar menambah, dengan adanya MTNP Lipis, anak-anak di daerah ini tidak perlu lagi berhijrah jauh untuk mendapatkan pendidikan tahfiz yang berkualiti.

“Ia bukan sahaja membuka peluang pendidikan lebih dekat dengan masyarakat Lipis, malah akan merancakkan ekonomi melalui peluang pekerjaan, peningkatan perkhidmatan dan pengukuhan institusi kekeluargaan.

“Kejayaan ini juga bakal menjadikan Lipis sebagai pusat pendidikan Islam penting di kawasan Pahang Barat, selain membuktikan keupayaan IASC Holdings yang ditransformasikan sebagai syarikat pembinaan sejak 2022,” jelasnya.

Sementara itu, Mustapa berkata, MTNP Lipis diyakini mampu melahirkan huffaz profesional yang bukan sahaja menguasai al-Quran, malah cemerlang dalam akademik serta kemahiran pelbagai bidang. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN