SEPANG: Lima rakyat Malaysia dan seorang rakyat Brunei yang bernaung di bawah Sumud Nusantara, Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di tanah air petang esok.
Difahamkan, mereka akan diterbangkan dari Athens, Greece ke Malaysia sebelum menyambung tugas di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), di sini.
Sementara itu, salah seorang daripada mereka, Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein memaklumkan, beliau dan peserta lain akan terbang ke tanah air malam ini.
“Kami dijangka tiba di tanah air petang esok (Jumaat),” katanya yang juga Pengarah Media Muslim Care Malaysia.
Beliau memaklumkan, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), mereka akan terus ke Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), di sini.
“Sebaik tiba, kami tidak boleh pulang ke rumah sebaliknya terus ke SNCC kerana masih ada tugas di sana. Kami masih kena main peranan masing-masing kerana kami masih dalam pasukan ini,” katanya.
Selain Tuan Mohd Asri, rakyat Malaysia lain yang dihantar pulang termasuk Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan warga Brunei, Rezahmaisalamah Md Yusof.
Pada sidang akhbar sebentar tadi, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Halim berkata, proses bawa pulang rakyat Malaysia itu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan menerusi Wisma Putra.
“Kami tidak keseorangan dalam situasi ini dan kerajaan menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang penaung Sumud Nusantara telah memberi komitmen penuh,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua lagi sukarelawan Malaysia akan dihantar ke Amman, Jordan bagi membantu kumpulan perundangan sekretariat membuat persediaan iaitu Hidayat Abdullah dan Nik Aziz Nik Mohammad. – UTUSAN