BATU KAWAN : Hasrat Imigresen FC (IFC) dan Sabah FC untuk melakar kemenangan pertama musim ini tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, hari ini.
Tuan rumah terlebih dahulu di depan pada minit ke-27 selepas bola rembatan kaki kiri penyerang, Joao Pedro terus menerjah jaring yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Skuad The Mighty Tigers berpeluang untuk menggandakan jaringan tidak lama selepas itu, namun, rembatan pemain kelahiran Colombia, Wilmar Jordan sekadar menggegar palang gol pelawat.
Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad The Rhinos kembali mengatur serangan dan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sentuhan pemain tengah, Stuart Wilkins pada minit ke-49.
Gol berpunca daripada rembatan awal Fergus Tierney yang terkena palang sebelum bola melantun dan cuba disudahkan oleh Muhammad Jafri Chew.
Bagaimanapun, rembatan Muhammad Jafri terkena pula pertahanan tuan rumah, Keron Ornchaiyaphum dan Wilkins terus menyambar peluang yang terhidang untuk mencatatkan namanya selaku penjaring.
Sabah kemudian berjaya mendahului pada minit ke-53 perlawanan menerusi rembatan leret Miguel Angel Garrido Cifuentes sebelum Jordan kembali mengikat kedudukan menjadi 2-2 untuk IFC pada minit ke-77.
Pelawat seterusnya berpeluang untuk membawa pulang tiga mata pertama beberapa minit sebelum perlawanan ditamatkan, namun, jaringan Ajdin Mujagic dibatalkan oleh pengadil, Kamal Ikhwan Yaacob kerana ofsaid selepas dia melihat ulang tayang melalui Video Bantuan Pengadil (VAR).
Ketika wisel penamat hampir ditiupkan, IFC pula dihukum selepas Kamal Ikhwan membuat semakan menerusi VAR apabila pemain gantian mereka, Nik Akif Syahiran Nik Mat dilayangkan kad merah kerana membuat terjahan keras ke atas pemain pertahanan Sabah, Muhammad Farhan Roslan.
Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan masih buntu untuk memungut tiga pertama selepas masing-masing telah mengharungi tujuh perlawanan liga musim ini.-UTUSAN










