Lif pangsapuri rosak sejak 10 tahun diganti, naik taraf - Utusan Malaysia

Lif pangsapuri rosak sejak 10 tahun diganti, naik taraf

MUHAMMAD Faizal Shah Safian Suri (tiga dari kiri) meninjau keadaan lif di Apartmen Taman Bukit Permata, Lumut. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Pemilik dan penghuni Apartmen Bukit Permata, Lumut boleh menarik nafas lega apabila masalah lif yang mereka hadapi sejak kira-kira 10 tahun lalu, bakal selesai awal tahun depan.

Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan peruntukan RM6.24 juta bagi mengganti dan menaik taraf semua 14 unit lif di 10 blok kediaman pangsapuri tersebut.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Muhammad Faizal Shah Safian Suri, berkata projek penyelenggaraan Lif Madani di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) itu sedang dilaksanakan dijangka siap Mac tahun depan.

“Daripada 14 lif yang ada, separuh daripadanya tidak boleh digunakan sehingga ada penghuninya yang terpaksa menggunakan tangga bagi kediaman tujuh tingkat itu sejak kira-kira 10 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di apartmen tersebut semalam.

Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPM, Mohd. Helmi Arifin; Ahli Majlis MPM, Mohd. Rafiq Mohd. dan Abdul Razak Nazri serta Pengerusi Persatuan Penduduk Apartmen Bukit Permata, Noramsyar Zainal Abi.

Muhammad Faizal Shah berharap projek itu dapat siap lebih awal daripada sasaran kerana percaya ia akan membolehkan lebih ramai pemilik akan kembali menginap di situ.

Ketika ini, katanya, ramai pemilik rumah kos sederhana tiga bilik itu menginap di tempat lain disebabkan masalah lif itu.

Beliau berkata, ia dibuktikan apabila hanya 589 unit didiami manakala 1,046 unit khususnya di tingkat atas tidak didiami.

Katanya, inisiatif tersebut sebahagian usaha berterusan MPM memastikan penyelenggaraan dilaksanakan secara berjadual dan sistematik bagi bangunan berusia khususnya pangsapuri tersebut yang telah didiami sejak lebih 14 tahun lalu.

Beliau juga berharap penghuni sedia ada dan pemilik memberi kerjasama membayar yuran penyelenggaraan RM80 sebulan berikutan kos penyelenggaraan mencecah antara RM90,000 hingga RM100,000 sebulan.

Manakala, kutipan bulanan berjaya diperolehi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu adalah antara RM60,000 hingga RM80,000 sebulan sahaja. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN