Lelaki pandu secara melulu di NKVE ditahan 

Lelaki pandu secara melulu di NKVE ditahan 

LELAKI ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan membabitkan lima kenderaan di NKVE yang tular di media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di lebuh raya Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE). 

Kemalangan berlaku pada 18 Oktober lalu itu membabitkan dua lori dan tiga kereta pada pukul 5.17 petang. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal dijalankan unit siasatan lebuh raya zon tengah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya  untuk siasatan lanjut.

Katanya, kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Land Rover berwarna hitam didapati dipandu secara melulu sebelum terbabas ke kanan jalan.

“Datang sebuah lori dari arah belakang telah terlanggar beberapa kenderaan yang memperlahankan kenderaan di lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, hasil semakan mendapati, lelaki berusia 22 tahun yang juga pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Land Rover tiada sebarang rekod lampau.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkenaan kejadian ini,” jelasnya.

Shamsudin mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.

“Polis tidak berkompromi kepada mana-mana pemandu yang memandu secara merbahaya serta akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN