MELAKA: Tindakan seorang penunggang motosikal menunggang melawan arus telah menyebabkan seorang penunggang motosikal lain pula maut selepas kedua-dua kenderaan itu bertembung.
Kejadian berlaku di Jalan Sungai Udang berhampiran lampu isyarat Penjara Sungai Udang kira-kira pukul 7.50 malam tadi itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Huzaimi Hamid, 44, pekerja loji penapisan di Sungai Udang telah meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Seorang lagi, penunggang motosikal yang dipercayai menunggang melawan arus itu mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun telah melawan arus dari arah Taman Desa Taming Sari menuju ke simpang lampu isyarat.
“Kedua-dua motosikal remuk di bahagian hadapan dan tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi, namun keterangan saksi bebas telah diambil bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini. – UTUSAN










