KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing dipercayai gelandangan yang ditemukan maut di kaki lima sebuah restoran di Persiaran Ara Kiri, Bangsar hari ini dikesan luka di kepala mangsa.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek serta saksi kejadian.
Katanya, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 8.03 pagi tadi.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan maut dengan kesan luka di kepala dan kejadian berlaku pada pukul 10.21 malam kelmarin.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek serta saksi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di 0322979222.
“Mereka juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kes, Asisten Superintenden Muhamad Nabil Afif Abdul Rahman di 0126955051 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya.
Difahamkan, mangsa dipercayai mati akibat ditolak seorang lelaki, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan. – UTUSAN