Lebih 700 pencalonan Anugerah Live At Work 2025

Lebih 700 pencalonan Anugerah Live At Work 2025

STEVEN SIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menerima lebih 700 pencalonan daripada hampir 300 buah syarikat di seluruh Malaysia untuk Anugerah Live At Work (LAWA) 2025.

Majlis anugerah yang bakal berlangsung hujung bulan ini akan mengiktiraf 33 majikan progresif dalam 13 kategori.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, majlis anugerah kali ini agak unik kerana pihaknya juga menganjurkan konvensyen untuk berkongsi maklumat tentang amalan terbaik dalam membina persekitaran kerja yang progresif dan inklusif.

“Jadi sebelum ini, kita hanya menganjurkan majlis penyampaian anugerah. Namun, apabila kita melihat semua syarikat yang terlibat, bukan sahaja pemenang, tetapi juga para calon yang mempunyai banyak maklumat dan pengalaman berharga untuk dikongsi,” katanya kepada pemberita setelah merasmikan Persidangan Life At Work (LAWA) 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi TalentCorp, Wong Shu Qi. Program yang dihadiri lebih 500 peserta itu, menjadi acara tahunan penting dalam agenda masa depan pekerjaan negara selaras dengan Belanjawan 2026 yang menekankan fleksibiliti, inklusiviti dan kesejahteraan pekerja.

Steven Sim berkata, sejak 2013, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui TalentCorp telah memperkenalkan LAWA untuk mengiktiraf syarikat-syarikat yang mengamalkan dasar-dasar sumber manusia yang progresif dan inklusif.

“Saya percaya ini merupakan perkembangan yang sangat baik, kita juga berkongsi maklumat tentang cabaran, isu-isu yang dihadapi, idea dan pandangan bukan sahaja daripada syarikat lain tetapi juga daripada pihak kerajaan,” katanya.

Program itu merupakan sebuah platform nasional yang menghimpunkan pemimpin industri, majikan dan pembuat dasar untuk memacu fasa seterusnya transformasi tempat kerja yang progresif dan berpusat kepada insan di Malaysia.

Dengan tema “Driving the Future of Work: Sustainable, Inclusive & Human-Centred”, persidangan itu menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh amalan kerja yang saksama dan mesra penjagaan dalam agenda ekonomi negara.

Sementara itu, Steven Sim dalam ucapan perasmian berkata, lebih 900,000 pekerja telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel (AKF) di bawah inisiatif TalentCorp.

Menurutnya, reformasi dasar tenaga kerja termasuk pindaan Akta Kerja 1955, insentif cukai tempat kerja mesra penjagaan dan inisiatif dilihat meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam membina ekonomi berasaskan kemanusiaan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN