Lebih 20 skim perumahan kos rendah bakal terima manfaat PRIHATIN

Lebih 20 skim perumahan kos rendah bakal terima manfaat PRIHATIN

CHOW Kon Yeow (tiga dari kiri) ketika menyaksikan penyerahan cek untuk Program PRIHATIN di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lebih 20 skim perumahan kos rendah khususnya yang melibatkan pangsapuri di Pulau Pinang bakal menikmati sistem bekalan air yang lebih baik menerusi Program Intervensi Penyelenggaraan Infrastruktur Air (PRIHATIN).

Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP), Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, program itu digerakkan susulan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM4 juta oleh PBAPP kepada LPNPP sebagai usaha membantu menaik taraf kemudahan air di kawasan pangsapuri kos rendah di negeri ini.

“Sumbangan tersebut membabitkan dana bagi tahun 2024 dan 2025, masing-masing sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan program PRIHATIN itu bagi memperkukuh sistem retikulasi air dalaman di pangsapuri kos rendah.

“Sumbangan ini amat bermakna dalam membantu LPNPP dan PBT untuk menambah baik kemudahan air di kawasan perumahan kos rendah yang memerlukan pembaikan segera,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurut Kon Yeow, program bersepadu itu bertujuan mempertingkat sistem retikulasi air dalaman melalui pembaikan tangki dan paip sedia ada serta pembinaan baharu seperti tangki sedutan dan rumah pam tertakluk kepada kelulusan teknikal PBT.

“Di Pulau Pinang ketika ini, dianggarkan terdapat kira-kira 300 projek perumahan kos rendah, kebanyakannya pangsapuri lima tingkat yang tidak dilengkapi sistem pam atau tangki sedutan,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan tangki air di bangunan tersebut terletak lebih 20 meter dari paras tanah sedangkan tekanan air yang dibekalkan PBAPP hanya sekitar 10 meter head (mH), menyebabkan air sukar sampai ke tangki bumbung.

“Keadaan ini menyebabkan sesetengah penduduk pangsapuri berhadapan masalah gangguan air berulang, terutama di kawasan tinggi atau di hujung paip agihan. Justeru, program PRIHATIN diharap dapat mengurangkan masalah ini secara berperingkat,” katanya.

Tambahnya, ketika ini juga, lima skim pertama di bawah program itu telah diluluskan untuk tindakan awal termasuk lawatan tapak dan penilaian teknikal.

“Keputusan meluluskan sumbangan CSR sebanyak RM4 juta dibuat selepas PBAPP meneliti keperluan penduduk B40 yang tinggal di pangsapuri lama tanpa pengurusan perbadanan bagi menyelenggara kemudahan air.

“Walaupun PBAPP berdepan cabaran menampung permintaan air yang kini mencecah 870 juta liter sehari (MLD), namun, usaha membantu golongan berpendapatan rendah tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN