PUTRAJAYA: Presiden Afrika Selatan, Matamela Cyril Ramaphosa akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia bermula hari ini hingga 27 Oktober bagi menghadiri Mesyuarat Dua Hala serta Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan, sebagai Tetamu Pengerusi.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, lawatan ini adalah jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan merupakan lawatan rasmi pertama Ramaphosa ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan pada Februari 2018.
Katanya, Ramaphosa akan diraikan dalam satu majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama Anwar di Kompleks Seri Perdana, di sini.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Afrika Selatan serta meneroka peluang untuk memperkukuhkan lagi kerjasama Malaysia-Afrika Selatan dalam bidang perdagangan dan pelaburan; industri halal dan pertanian.
“Ini termasuk bidang pertahanan; sains, teknologi dan inovasi; pendidikan; pelancongan dan kebudayaan; pengangkutan; serta pembangunan kapasiti,” katanya.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, Presidensi G20 Afrika Selatan 2025, kerjasama dalam BRICS, serta Rakan Dialog Sektoral ASEAN-Afrika Selatan.
Wisma Putra berkata, mereka turut dijangka menegaskan semula komitmen teguh kedua-dua negara terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Pada masa sama, Presiden Ramaphosa akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa oleh Universiti Malaya dalam Majlis Konvokesyen Khas pada 27 Oktober ini.
Ia sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan berwawasan beliau dalam pembangunan negara, komitmen terhadap demokrasi dan hak asasi manusia, serta pendirian tegas beliau dalam memperjuangkan kepentingan Negara-Negara Selatan dan hak rakyat Palestin.
“Ramaphosa turut dijemput menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan.
“Beliau juga akan menyampaikan ucapan semasa Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 (EAS) serta menghadiri Majlis Jamuan Gala yang dihoskan oleh Perdana Menteri serta dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Malaysia,” katanya.
Pada tahun 2024, Afrika Selatan merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di benua Afrika dengan jumlah dagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai sebanyak RM7.82 bilion (AS$1.71 bilion).
Eksport Malaysia ke Afrika Selatan berjumlah RM3.84 bilion (AS$0.84 bilion), manakala import dari Afrika Selatan ke Malaysia bernilai RM3.98 bilion (AS$0.87 bilion).
“Prestasi ini mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin kukuh serta potensi besar untuk kerjasama yang lebih meluas antara kedua-dua negara.
“Eksport utama Malaysia ke Afrika Selatan termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit, produk petroleum serta produk elektrik dan elektronik (E&E), manakala import dari Afrika Selatan terdiri daripada produk logam, hasil pertanian (buah-buahan segar dan kering) serta makanan diproses,” katanya.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Afrika Selatan telah terjalin sejak November 1993, dan kini kekal erat serta disokong oleh ikatan diplomatik, ekonomi dan sejarah yang kukuh.
Kedua-dua negara juga bekerjasama rapat di pelbagai platform multilateral termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Komanwel dan BRICS. Malaysia dan Afrika Selatan terus komited untuk memperkukuh kerjasama Selatan–Selatan dan mempromosikan pembangunan mampan. – UTUSAN










