Larian SeLadang KITARecycle mencetus semangat gaya hidup sihat dan lestari dalam kalangan warga sekolah dan komuniti setempat.
Program julung kali anjuran SWM Environment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Seri Ladang, Batu Pahat itu diadakan sempena Hari Sukan Negara 2025 bertempat di padang sekolah berkenaan.
Guru Besar SK Seri Ladang, Zarah Tasman, berkata, program tersebut menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuh pendidikan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
“Melalui program ini, setiap peserta diwajibkan membawa barangan kitar semula untuk dikreditkan melalui aplikasi KITARecycle dan hasilnya kami berjaya mengumpulkan kira-kira satu tan bahan kitar semula,” katanya.
Lebih 300 peserta terdiri daripada warga sekolah, ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti sekitar Batu Pahat menyertai acara berkenaan yang turut mengetengahkan mesej kepentingan kelestarian alam sekitar.
Acara larian sejauh lima kilometer membawa peserta melalui kawasan kampung sekitar sekolah, sekali gus memberikan pengalaman beriadah sambil menikmati keindahan alam semula jadi tempatan.
Selain acara larian, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti pameran kelestarian, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran ‘From Waste to Art’ serta aktiviti interaktif berkonsepkan teknologi hijau bagi meningkatkan kesedaran terhadap amalan lestari. – UTUSAN










