Kuasa merotan boleh diturunkan kepada guru ikut keperluan – KPM

Kuasa merotan boleh diturunkan kepada guru ikut keperluan – KPM

Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengetua dan Guru Besar boleh menurunkan kuasa kepada guru untuk mendisiplinkan murid berdasarkan kepada keperluan.

Itu antara beberapa langkah tambahan untuk menangani isu disiplin murid dan meningkatkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menurut KPM, peranan Pengetua dan Guru Besar serta Jawatankuasa Disiplin ditingkatkan dalam menangani isu-isu disiplin murid di sekolah.

“Pada waktu ini, peraturan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa turut melibatkan kuasa merotan murid, menggantung sekolah dan membuang sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPM berkata, tambahan RM5 juta diperuntukkan bagi tujuan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah-sekolah yang telah dikenal pasti di seluruh negara.

Katanya, ini adalah tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diperuntukkan untuk pemasangan CCTV di sekolah sebelum ini.

Pada masa sama, seramai 10,096 guru baharu termasuk lebih 500 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling akan ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara pada bulan depan.

“Ia dapat membantu memenuhi keperluan semasa dan meningkatkan aspek psikososial murid.

“ Seramai 600 orang Pembantu Warden Asrama Sepenuh Masa akan dilantik dalam kalangan personel MySTEP bertujuan meningkatkan pemantauan keselamatan murid asrama sekali gus mengurangkan beban tugas Warden Asrama,” katanya.

Selain itu, Jawatankuasa Pemuafakatan di peringkat sekolah akan diperkukuhkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut merangkumi fungsi Pegawai Penghubung Sekolah.

Jelasnya, PDRM akan melaksanakan pemantauan keselamatan di semua institusi pendidikan KPM.

Fungsi ‘Smart Support Team’ di peringkat jabatan pendidikan negeri (JPN) dan pejabat pendidikan daerah (PPD) akan terus diperkasakan bertujuan membantu dari aspek psikososial dalam situasi krisis.

Pada masa sama, katanya, guru-guru akan diberi latihan dan pendedahan berterusan bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan di sekolah.

“Pada waktu ini KPM sedang dalam proses menggubal semula peraturan disiplin murid.

“Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) akan diteliti semula bagi tujuan tambah baik yang perlu digunakan secara proaktif untuk mengurus isu disiplin termasuk langkah untuk menanganinya,” katanya.

Dalam pada itu, KPM berkata, institusi pendidikan diminta untuk memberi tumpuan khusus kepada tindakan yang perlu diambil bagi menangani isu disiplin yang berbangkit.

Jelasnya, suara guru dan murid di sekolah perlu diberi perhatian dan sesi pertemuan dan dialog dengan murid dan guru perlu diadakan untuk mengetahui keperluan dan perkara yang berbangkit.

“Inisiatif ‘kotak suara murid’ adalah selaras dengan advokasi suara kanak-kanak seperti yang disyorkan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

“Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) akan dimuktamadkan dalam tempoh waktu terdekat bertujuan melindungi murid di sekolah,” katanya.

Sementara itu, KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperkukuhkan program saringan kesihatan mental bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam termasuk intervensi dan sokongan psikososial yang berterusan untuk murid.

KPM sentiasa berusaha untuk meningkatkan aspek keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid.

“Semua pihak diseru untuk berkerjasama memastikan hasrat mewujudkan ekosistem selamat di semua institusi pendidikan dapat direalisasikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN