PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan menerima peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM66.2 bilion antaranya bagi menaik taraf prasarana sekolah dalam Belanjawan 2026.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kualiti prasarana sekolah kekal menjadi keutamaan kerajaan.
“Hampir RM2 bilion disediakan bagi menaik taraf lebih 520 sekolah daif khususnya di Sabah Sarawak selain membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah.
“Ini termasuk membaik puslih kemudahan murid dan bilik guru susulan kejayaan kita membaik pulih tandas, kantin dan surau dalam masa singkat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, sebanyak 38 buah sekolah baharu akan dibina untuk memenuhi keperluan penduduk setempat.
Anwar berkata, pembinaan bilik darjah tambahan melalui kaedah sistem binaan berindustri (IBS) di sekolah sedia ada berjaya siap dalam tempoh maksimum enam bulan.
“Sebanyak RM100 juta disediakan bagi membina bilik darjah tambahan di lebih 100 sekolah berkepadatan tinggi.
“Sebanyak 350 buah kelas prasekolah baharu juga dibina di bangunan sedia ada dengan peruntukan lebih RM100 juta. Ini bagi mengisi kekurangan kelas prasekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, sebanyak RM150 juta disediakan Biasiswa Kecil Persekutuan untuk anak-anak sekolah.
“Selain itu, sebanyak RM870 juta Rancangan Makanan Tambahan untuk membekalkan makanan berkhasiat kepada 870,000 murid.
“Pada masa ini, Bantuan Am Persekolahan hanya diberikan murid miskin sehingga tingkatan tiga. Kerajaan bersetuju memperluas bantuan ini kepada murid miskin sehingga tingkatan lima dengan jumlah peruntukan RM180 juta,” katanya.
Semua 5.2 juta murid sekolah kerajaan akan menerima RM150 ‘Bantuan Awal Persekolahan dengan peruntukan RM800 juta.
“Mulai 2026, penyaluran bantuan akan dibuat di sekolah melalui guru kepada ibu bapa. Ini bagi memastikan hubungan baik antara guru dan ibu bapa demi pendidikan lebih baik anak-anak,” katanya.- UTUSAN










