PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) diminta meneliti semula perbelanjaan tambahan persekolahan yang kini menjadi beban kepada ibu bapa termasuk kos pakaian aktiviti sukan dan pakaian beruniform.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, KPM juga akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan-kerajaan negeri bagi menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
“Mesyuarat telah meneliti cadangan KPM yang berkait isu kos tambahan persekolahan seperti yuran PIBG dan tambang bas sekolah yang meningkat saban tahun.
“Bagi meringankan beban ibu bapa, KPM diminta mengkaji semula perbelanjaan tambahan tersebut termasuk pakaian aktiviti sukan dan beruniform selain berbincang dengan kerajaan negeri untuk memperluas penyediaan perkhidmatan bas percuma bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2025 bagi meneliti beberapa dasar utama dan strategi menangani isu kos sara hidup.
Dalam mesyuarat sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NACCOL berkata, kerajaan meneliti cadangan pelaksanaan program TVET Tahfiz melalui kerjasama antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.
“Program TVET Tahfiz serta sekolah-sekolah pondok akan terus diperkasa melalui peluasan akses dan pengiktirafan sijil oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran serta Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kebolehpasaran pelajar tahfiz, malah membantu meningkatkan pendapatan mereka dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya.
Selain itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai dapatan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan 2023/2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan peningkatan pendapatan isi rumah telah mengubah corak perbelanjaan rakyat daripada keperluan asas kepada barangan dan perkhidmatan bukan keperluan.
Ahmad Zahid berkata, keputusan mesyuarat itu menggambarkan komitmen kerajaan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif menangani kos sara hidup rakyat melalui pendekatan bersepadu termasuk peningkatan pendapatan, program jualan murah dan bantuan tunai.-UTUSAN










