SEPANG: Konvoi misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka tiba di pesisir Gaza sekitar pukul 5.57 petang esok waktu Malaysia.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, jangkaan itu berlaku sekiranya semua pelayaran mereka berjalan lancar.
Menurut beliau, Kapal Seulle yang berlepas dari Sicily, Itali menjadi kapal pertama dalam konvoi GSF yang berjaya melepasi zon merah kira-kira pukul 9.40 malam tadi atau sekitar 4.40 petang waktu tempatan.
“Kapal itu bergerak pada kelajuan kira-kira 5.5 knot dan mendahui kapal lain.
“Jika semuanya berjalan lancar, konvoi GSF dijangka tiba di pesisir Gaza sekitar pukul 5.57 petang esok waktu Malaysia,” katanya kepada pemberita di SNCC di sini tadi.
Katanya, SNCC juga sentiasa berhubung dengan flotila tersebut dengan mengekalkan komunikasi 24 jam tanpa henti.
Menurut beliau, ketika ini, terdapat 44 buah kapal yang belayar bersama di bawah misi GSF.
“SNCC akan terus memberikan sokongan moral berterusan kepada peserta misi selain memastikan mereka kekal fokus.
“Namun, mereka kini berada pada fasa latihan dan persediaan. Kita tidak membenarkan mereka terlalu banyak berinteraksi dengan dunia luar kerana bimbang akan menjejaskan tumpuan,” katanya. – UTUSAN