SEPANG- Pusat Kawalan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengambil pendekatan terus berhubung dengan 24 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebelum mereka bertindak mencampakkan telefon ke dalam laut sekiranya dipintas Israel.
Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, tindakan berhubung dengan sukarelawan Malaysia itu dibuat bagi mengenal pasti status terkini mereka selepas mula berlayar menuju zon merah 2.
“Apa yang paling penting sekarang ialah kita sedang menghubungi rakan-rakan kita yang berada di atas kapal untuk mengesahkan (keadaan mereka) sebelum mencampakkan telefon (ke dalam laut).
“Sebelum campak telefon, semua mereka beritahu masih dalam keadaan baik dan bersemangat,” katanya kepada pemberita di SNCC di sini tadi.
Dalam perkembangan sama, Dr. Sany Araby berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau kecederaan melibatkan sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF.
“Tidak ada laporan kecederaan yang kami terima setakat ini. Apa saja yang berlaku, kita akan cuba dapatkan laporan terkini daripada kapal yang belum dipintas,” katanya.
Sementara itu, delegasi Malaysia yang berada dalam kapal Alma dan Sirius turut dilaporkan terputus hubungan susulan dipintas Israel dalam pelayaran dalam zon merah 2.
Dr. Sani Araby berkata, keadaan itu berikutan mereka tidak dapat dihubungi lebih dua jam dan dipercayai sudah membuang telefon ke dalam laut.
“Tanda ini menunjukkan mereka telah melalui ruang waktu (hubungi) lebih dua jam dan kita dapat pengesahan daripada pusat GSF bahawa tracker itu tidak lagi dijaga.
“Bila depan dan belakang sudah dipintas, agak sukar untuk minta yang lain tengok dan bila rakaman televisyen litar tertutup mereka terputus, itu adalah tindakan Israel,” katanya. – UTUSAN