Keselamatan rakyat Malaysia sertai Sumud Flotilla keutamaan negara

Keselamatan rakyat Malaysia sertai Sumud Flotilla keutamaan negara

ADLY Zahari Ketika sidang akhbar penutupan rasmi program Perkhidmatan Digital Siber, Pertahanan dan Keselamatan Asia (CyberDSA), di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keselamatan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza menjadi keutamaan melalui kerjasama erat bersama Kementerian Luar.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementeriannya komited menyalurkan kepakaran pertahanan termasuk aspek perisikan, bagi membantu menangani situasi kritikal itu.

Menurutnya, ini selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia mesti diutamakan dalam sebarang tindakan.

“Keutamaan kita adalah warga Malaysia. Kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar akan diperkukuhkan demi keselamatan mereka,” katanya ketika sidang akhbar penutupan rasmi program Perkhidmatan Digital Siber, Pertahanan dan Keselamatan Asia (CyberDSA), di sini hari ini.

Beliau berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggunakan segala keupayaan perisikan untuk menyokong langkah diplomasi yang sedang diusahakan kerajaan.

Bagi Malaysia, misi keamanan adalah keutamaan utama seperti diumumkan Panglima Tentera Darat.

“Kita sentiasa bersedia melaksanakannya dengan kerjasama negara Islam serta melalui saluran antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebab itu di Kementerian Pertahanan memang kita bersiap siaga serta sentiasa berhubung dalam soal misi keamanan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia antara negara yang membangunkan inisiatif misi keamanan itu. 

“Pelaksanaannya bergantung kepada perbincangan, namun keutamaan semasa adalah keselamatan rakyat Malaysia seperti ditegaskan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN