SHAH ALAM: Masih terlalu awal untuk menyatakan bahawa pelajar Tingkatan Satu yang menikam hingga maut rakan sekolahnya semalam, mempunyai masalah mental.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihak polis ketika ini tidak dapat mengesahkan kesihatan mental suspek, dan sedang melakukan siasatan lebih lanjut berhubung perkara itu.
“Siasatan awal kes ini mendapati tiada unsur buli yang menjurus ke arah perbuatan itu.
“Faktor dorongan emosi dan pengaruh media sosial dikenal pasti sebagai antara punca tindakan suspek berkelakuan sedemikian,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis akan menyerahkan suspek kepada pihak berkaitan untuk memberikan kaunseling selepas siasatan polis selesai.
Shazeli memaklumkan, polis sudah merakam 57 keterangan daripada guru, murid sekolah berkenaan, ahli keluarga dan pihak kaunseling..
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh. Polis turut merampas nota dipercayai ditulis suspek ketika dia ditahan,” katanya.
Surat yang ditulis suspek tular di media sosial semalam dengan tertulis ‘Dunia ini palsu. Saya sudah menang.’
Dalam pada itu, Shazeli memaklumkan emosi keluarga suspek dalam keadaan baik walaupun terganggu akibat kejadian berkenaan
Menurutnya, keluarga suspek memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang soal siasat kes itu dijalankan. – UTUSAN










