SEREMBAN: Kes influenza dan Influenza-like Illness (ILI) di negeri ini menunjukkan peningkatan apabila 10 kluster dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ke-41 (5 hingga 11 Oktober 2025) berbanding hanya empat kluster pada minggu sebelumnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan, sebanyak 299 kes direkodkan berbanding 154 kes pada minggu sebelumnua dengan Seremban mencatat jumlah tertinggi iaitu tujuh kluster, diikuti Kuala Pilah, Jelebu dan Rembau masing-masing satu kluster.
Beliau berkata, sembilan kluster melibatkan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) manakala satu lagi dikesan di tadika swasta.
“Majoriti kes membabitkan pelajar sekolah termasuk institusi berasrama namun kebanyakan pesakit hanya mengalami gejala ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah melaksanakan langkah kawalan di semua sekolah terlibat termasuk kerja disinfeksi bilik darjah, asrama dan surau selain pemantauan harian terhadap pelajar bergejala.
Aminuddin berkata, peningkatan jumlah kluster influenza itu perlu diberi perhatian serius semua pihak, khususnya pengurusan sekolah dan ibu bapa bagi mengekang penularan jangkitan.
“Walaupun majoriti kes berada dalam keadaan stabil, langkah pencegahan awal sangat penting bagi mengelakkan wabak ini merebak lebih luas. Ibu bapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak ke sekolah jika mereka bergejala seperti demam, batuk atau sakit tekak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata insiden jenayah membabitkan pelajar sekolah yang berlaku kebelakangan ini perlu dijadikan isyarat penting kepada semua pihak untuk menilai semula tanggungjawab masing-masing, bukan sekadar mencari siapa yang salah atau betul.
“Setiap pihak termasuk sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta masyarakat perlu mengambil iktibar dan melakukan penambahbaikan bagi mengelak perkara sama berulang,” katanya. – UTUSAN









