GEORGE TOWN : Kerja-kerja pembaikan cerun susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Tun Sardon, Balik Pulau dekat sini mungkin melibatkan pembinaan tembok penahan konkrit yang baharu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hal ini demikian kerana, kawasan yang mengalami runtuhan kali ini tidak pernah dipasang dengan tembok berkenaan sebelum ini.
“Bahagian-bahagian yang terkesan dalam kejadian dahulu (tanah runtuh di Balik Pulau pada 2018) semua telah dibaiki dan ia bertahan selama hampir tujuh atau lapan tahun.
“Bagaimanapun, bahagian ini (runtuhan terbaharu) mungkin tidak dikonkritkan (pada 2018). Oleh itu, kita berharap agar runtuhan tersebut akan dibaiki dengan menggunakan kaedah yang sama (pembinaan tembok penahan konkrit),” katanya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa menghadiri sidang akhbar berkaitan Pameran Sains Antarabangsa Pulau Pinang (PISF) di Penang Science Cluster di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow turut berharap agar kerja-kerja pembaikan cerun itu dapat disegerakan.
Katanya, ini kerana, ia menjejaskan ramai pengguna jalan raya yang terpaksa menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh apabila melalui kawasan runtuhan tersebut kerana jalan asal masih ditutup.
Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, tidak ada sebarang aset kerajaan yang terjejas atau rosak akibat kejadian banjir di Pulau Pinang tempoh hari.
“Saya dimaklumkan tak ada (aset kerajaan yang terjejas) dan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) juga akan menyalurkan bantuan kewangan kepada mangsa yang layak dalam masa terdekat,” katanya.
Banjir yang berlaku selama tiga hari itu menyebabkan seramai 1,201 mangsa daripada 333 keluarga di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Barat Daya terjejas dan terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air.-UTUSAN










