Kerajaan terus promosi TVET - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Kerajaan terus promosi TVET – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai teknologi yang dipamerkan dalam Ekspo TVET@KKDW 2025 di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan akan terus mempromosikan kursus pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) kerana usaha itu penting bagi memajukan Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemajuan negara bukan diukur melalui bilangan bangunan pencakar langit atau angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi menerusi TVET bagi menghasilkan produk reka cipta dan teknologi.

“Itulah sebabnya saya bersama pasukan begitu serius mengangkat TVET. Kerana kami percaya, masa depan pekerjaan adalah TVET, dan masa depan TVET adalah masa depan Malaysia,” katanya yang juga mengetuai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau berkata demikian semasa berucap bagi merasmikan Ekspo TVET@KKDW 2025 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau mahu semua generasi muda termasuk pelajar tahfiz atau huffaz memberi tumpuan kepada TVET.

“Harapan saya, harapan KKDW dan harapan kerajaan Malaysia, kita mahu huffaz ini menjadi profesional. Kita mahu golongan profesional menjadi huffaz. Kita mahu ulama menjadi ahli profesional dan kita mahu ahli profesional ‘diulamakan’.

“Biarpun berfikiran London atau New York, tetapi hati nurani mereka ialah Mekah dan Madinah,” katanya.

Beliau berkata, kesungguhan kerajaan terhadap TVET dapat digambarkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam semasa Belanjawan 2026 mengumumkan peruntukan TVET meningkat kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion pada tahun 2025 dan RM6.8 bilion pada tahun 2024.

“Laporan Bank Dunia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan UNESCO pada tahun 2023
mendedahkan, negara berpendapatan rendah dan sederhana hanya memperuntukkan sekitar 0.2 peratus KDNK untuk TVET.

“Sebaliknya, negara maju melabur lebih 0.46 peratus. Bezanya kecil di atas kertas, tetapi besar kesannya kepada daya saing. Kenapa mereka melabur lebih? Kerana mereka yakin TVET adalah pelaburan jangka panjang untuk kemakmuran negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN