KERAJAAN Persekutuan komited mengekalkan tahap hutang yang berhemat selaras dengan sasaran konsolidasi fiskal di bawah Akta 850, menurut Tinjauan Ekonomi.
Laporan itu berkata, akta ini bertujuan untuk mengurangkan jumlah nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara beransur-ansur yang merangkumi pinjaman domestik dan luar pesisir di bawah 60 peratus dalam jangka masa sederhana.
“Walau bagaimanapun, siling hutang berkanun yang ditadbir di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 [Akta 637], Akta Pendanaan Kerajaan 1983 [Akta 275], Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 [Akta 188] dan Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 [Akta 403] terus kekal sebagai asas perundangan bagi had hutang khusus mengikut jenis instrumen.
“Setakat akhir Jun 2025, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,304.2 bilion atau 64.7 peratus daripada KDNK.
“Daripada jumlah ini, 98.3 peratus terdiri daripada hutang domestik manakala pinjaman luar pesisir berkurangan kepada 1.7 peratus (separuh pertama 2024: 2.4 peratus) susulan penebusan sukuk global berjumlah AS$1 bilion pada April 2025.
“Tahap hutang berdenominasi asing yang rendah meminimumkan pendedahan Kerajaan terhadap risiko pertukaran mata wang asing,” katanya dalam laporan itu.
Menurut laporan itu, instrumen patuh Syariah yang berjumlah RM634.3 bilion atau 48.6 peratus daripada jumlah hutang kekal sebagai komponen utama dalam struktur hutang. Daripada jumlah ini, 97.8 peratus adalah terbitan domestik manakala bakinya merupakan sukuk global dalam dolar AS.
“Penerbitan berterusan instrumen Islam ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh pasaran modal patuh syariah dan mengekalkan kedudukan sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.
“Objektif utama strategi pinjaman adalah untuk mengurangkan risiko pembiayaan semula dengan mengekalkan profil kematangan yang seimbang dan mampan.
“Portfolio hutang domestik kerajaan Persekutuan merangkumi pelbagai tempoh kematangan dan jenis instrumen. Sehingga Jun 2025, instrumen jangka pendek dengan tempoh matang tiga, enam hingga sembilan dan 12 bulan iaitu MTB dan MITB berjumlah RM2 bilion dan RM5.5 bilion,” katanya.
Sementara itu, instrumen jangka sederhana dan panjang iaitu MGS dan MGII berjumlah RM659.1 bilion dan RM614.8 bilion dengan tempoh matang sehingga 30 tahun.
“Pada akhir Jun 2025, hutang terkumpul dengan tempoh matang melebihi lima tahun meningkat kepada 61.1 peratus manakala bagi lima tahun atau kurang mencatat pengurangan kepada 38.9 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, purata wajaran tempoh matang bagi sekuriti hutang terkumpul dijangka meningkat kepada 9.6 tahun menjelang akhir 2025 (2024: 9.3 tahun) mencerminkan pengurusan hutang yang proaktif selaras dengan komitmen kerajaan terhadap kemampanan fiskal jangka masa panjang.
Pada akhir Jun 2025, hutang terkumpul dengan tempoh matang melebihi lima tahun meningkat kepada 61.1 peratus manakala bagi lima tahun atau kurang mencatat pengurangan kepada 38.9 peratus.
Sehubungan itu, purata wajaran tempoh matang bagi sekuriti hutang terkumpul dijangka meningkat kepada 9.6 tahun menjelang akhir 2025 (2024: 9.3 tahun) mencerminkan pengurusan hutang yang proaktif selaras dengan komitmen Kerajaan terhadap kemampanan fiskal jangka masa panjang.
Sementara itu, pinjaman luar pesisir berjumlah RM22.8 bilion terdiri daripada pinjaman pasaran sebanyak RM19.8 bilion dan pinjaman projek sebanyak RM3 bilion.
“Pinjaman pasaran termasuk sukuk global dan bon Samurai manakala pinjaman projek melibatkan perjanjian bilateral dan multilateral bagi membiayai program atau projek infrastruktur tertentu.
“Daripada jumlah pinjaman luar pesisir, 61.4% adalah dalam denominasi dolar AS, 38.5% dalam yen dan baki 0.1 peratus dalam mata wang lain.
“Pelabur institusi domestik merupakan pemegang utama sekuriti kerajaan Persekutuan dan menyumbang sebanyak RM1,006.1 bilion atau 77.1 peratus daripada jumlah hutang terkumpul pada akhir Jun 2025,” katanya.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja merupakan pemegang terbesar sebanyak 27.2 peratus diikuti oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 3.8 peratus dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) sebanyak 2.4 peratus.
Sementara itu, institusi perbankan memegang sebanyak 29.4% diikuti oleh syarikat insurans sebanyak 5.5 peratus dan institusi kewangan pembangunan sebanyak 2.2 peratus.
Penyertaan kukuh daripada pelabur institusi jangka masa panjang disokong oleh penekanan strategik Kerajaan terhadap terbitan jangka sederhana dan panjang dalam menguruskan risiko pembiayaan semula dan memastikan profil kematangan yang seimbang.
Pemegangan bukan pemastautin kekal stabil pada RM298 bilion atau 22.9 peratus daripada jumlah hutang.
Syarikat pengurusan aset merupakan pemegang utama dalam kalangan pelabur bukan pemastautin yang mewakili 7.1 peratus diikuti oleh bank pusat/kerajaan (6.7 peratus) serta institusi perbankan (4.8 peratus).
Dana persaraan dan syarikat insurans menyumbang sebanyak 3.5 peratus dan 0.5 peratus mencerminkan minat berterusan pelabur jangka masa panjang antarabangsa terhadap sekuriti kerajaan.
Pada 2025, DSC Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat sebanyak 7.6 peratus kepada RM54.3 bilion atau 16.3 peratus daripada hasil (2024: 9.0 peratus; RM50.5 bilion; 15.6 peratus).
Kadar pertumbuhan DSC yang sederhana ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 4.1 peratus pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025.
Sebahagian besar perbelanjaan DSC iaitu RM53.5 bilion diperuntukkan bagi bayaran faedah dan keuntungan instrumen domestik manakala baki sebanyak RM0.8 bilion bagi membayar pinjaman luar pesisir.
Daripada perspektif kecekapan kos, purata wajaran kos pinjaman untuk hutang domestik terkumpul mencatat 4.11 peratus pada akhir Jun 2025 (akhir 2024: 4.12 peratus).
Keutamaan struktur kupon kadar tetap dalam sekuriti kerajaan terus melindungi portfolio hutang daripada turun naik kadar faedah jangka masa pendek sepanjang tempoh matang yang mash berbaki.
Walau bagaimanapun, purata wajaran kos pinjaman menunjukkan penurunan marginal daripada tahun sebelumnya membantu mengurangkan pertumbuhan DSC. – UTUSAN











