KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas terhadap syarikat asing yang didakwa melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, syarikat multinasional dari China yang menjalankan operasi perniagaan di Negeri Sembilan telah dikenakan pertuduhan kerana melanggar undang-undang imigresen dan didakwa di bawah AMLA membabitkan projek di Springhill, Port Dickson.
Katanya, beliau turut mengemukakan soalan kepada Timbalan Menteri Kewangan berhubung prosedur standard pengurusan kes AMLA yang melibatkan syarikat luar.
“Banyak pihak bertanya kepada saya kerana mereka bimbang wujud sikap tidak adil, di mana pihak tertentu mungkin menekan Kerajaan Pusat supaya kes AMLA dileraikan.
“Sedangkan jika kita lihat, pemimpin utama negara seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malah parti saya sendiri, apabila dikenakan pertuduhan AMLA, kes tetap dibawa ke mahkamah,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Fayhsal berkata, beliau meminta jawapan bertulis daripada kerajaan bagi mengesahkan tiada campur tangan dalam isu pendakwaan AMLA terhadap syarikat luar.
“Saya bimbang jika ada individu politik yang menggunakan saluran politik untuk menekan Perdana Menteri.
“Kerajaan perlu berpegang kepada prinsip tatakelola yang betul bagi memastikan keadilan diberi kepada semua yang berdepan pertuduhan AMLA,” katanya. – UTUSAN










