KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap mampu membentangkan belanjawan terbesar dalam sejarah negara bernilai RM470 bilion, walaupun jumlah dividen daripada Petronas dijangka berkurang tahun depan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu membuktikan asas ekonomi negara kekal kukuh dengan sokongan hasil yang pelbagai, bukan semata-mata bergantung kepada sumbangan daripada syarikat minyak dan gas nasional itu.
“Walaupun Petronas dividen kurang daripada yang kita dapat tahun ini, tapi alhamdulillah hasil yang kita ada lebih cukup untuk membuat bajet yang paling besar daripada segi Malaysia, RM 470 bilion, dengan menggunakan sokongan daripada badan-badan lain,” katanya selepas pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya lagi, dalam penyediaan Belanjawan 2026, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dengan mengambil kira andaian harga minyak dan gas yang realistik.
“Pada segi harga minyak dan gas, bajet selalu ada jangkaan. Kalau kita tak menekan Petronas memberi lebih, jika harga minyak turun, kemungkinan dividen akan turun selari dengan penurunan. Ini menunjukkan kondisi sebenar,” katanya.
Jelas Amir lagi, keutamaan kerajaan bukan hanya memastikan aliran tunai jangka pendek, tetapi juga mengekalkan kemampuan Petronas untuk terus melabur dan membangunkan industri petroleum di luar negara bagi menjana pulangan masa depan kepada Malaysia.
“Yang penting untuk kita ialah Petronas terus ada cukup dana untuk membangunkan industri petroleum di luar negara agar pulangannya dapat pulang ke Malaysia.
“Setakat mana mereka boleh, mereka akan menolong dengan segi dividen,” katanya lagi. – UTUSAN










