JERANTUT: Kerajaan sedang merangka satu mekanisme khusus bagi mendaftarkan mangsa banjir yang terjejas tetapi memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan secara menyeluruh, termasuk kepada mereka yang kekal di rumah masing-masing walaupun kawasan mereka dilanda banjir.
Jelasnya, kerajaan memahami mangsa yang tidak berpindah itu adalah untuk menjaga barang-barang di rumah terutama mengelak daripada kecurian.
“Yang itu kami sedang mencari mekanisme bagaimana untuk kami mendaftarkan mangsa-mangsa berkenaan dan pada waktu sama mereka diikhtiarkan untuk dapat bantuan.
“Namun, kaedah bantuan ini telah kami ubah dengan melantik Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk mengkreditkan bantuan wang ihsan terus ke akaun penerima, iaitu mereka yang menjadi mangsa yang berpindah dan berdaftar, jadi kita beri keutamaan kepada yang berpindah.
“Bagi yang tidak berpindah, kita meneliti benarkah rumah mengalami banjir dan disahkan oleh jawatankuasa peringkat daerah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 dan 10 Tahun. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Padang FA Jerantut di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, dunia kini menyaksikan Malaysia mempunyai keupayaan pengurusan bencana berkelas global, lahir daripada latihan yang tersusun, kesepaduan agensi dan kepimpinan strategik yang sudah dibina serta diperhalus selama sedekad.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, keupayaan negara kini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sehingga negara Russia pun datang belajar dengan Malaysia malah NADMA turut menyertai pelbagai misi kemanusiaan global.
“10 tahun bukan tempoh yang singkat. Dalam satu dekad ini, NADMA telah membina sistem pengurusan bencana yang semakin matang, moden dan menyeluruh. Apa yang dahulu reaktif, kini menjadi proaktif. Apa yang dahulu terpisah, kini bersepadu,” katanya. – UTUSAN










