Apa artis sendu ini buat dalam TikTok?”
Itu antara sindiran tajam yang pernah hinggap ke mata dan telinga penyanyi, Ameerais Azhar.
Mohamad Arif Ameerais Azhar dipandang rendah, karier nyanyian dianggap sendu apabila kerap membuat kemunculan sebagai hos siaran langsung dan mencipta kandungan di platform tersebut.
Penyanyi berusia 34 tahun ini sedar yang dia tidak mampu menghalang netizen daripada menulis di media sosial. Ameerais hanya mampu berlapang dada.
Dan paling penting, tersenyum sahaja selepas membaca sindiran-sindiran yang diterimanya di platform maya.
Ini kerana di sebalik penghinaan yang diterimanya, tersembunyi hikmah lebih besar diturunkan Allah SWT.
“Saya abaikan apabila terima mesej di media sosial, kata saya ini aktif di TikTok kerana karier seni saya semakin merudum.
“Dulu memang saya terkesan bila terbaca komen negatif, sekarang tidak. Bila difikirkan, kenapa pula saya harus takut dengan pandangan orang?
“Yang mengutuk itu, mungkin mereka tidak tahu yang saya pernah jana pendapatan antara RM3,000 hingga RM40,000 secara konsisten setiap kali bersiaran langsung di TikTok,” katanya.
Penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini tidak pernah menganggap dirinya, seorang artis ‘turun taraf’ apabila sekarang ini bergelar TikTokers.
“Malah ia ibarat rezeki terpijak. Saya terima pendapatan yang jumlahnya tidak disangka-sangka di TikTok, pernah beberapa minit dapat berbelas ribu hasil gift yang diberi penonton ketika saya bersiaran langsung.
“Sebab itu, saya tidak pernah kisah dengan komen negatif orang kerana bukan mereka yang bagi rezeki, sebaliknya Allah,” kongsinya.

GANGGUAN RUMAH TANGGA
Enam tahun mendirikan rumah tangga dengan Siti Nurnaja’a Shamsul Kamar, Ameerais bahagia melayari bahtera perkahwinannya dengan kehadiran dua cahaya mata.
Namun, anggota kumpulan Forteen tidak menafikan adanya cubaan-cubaan yang jika tidak ditangani, mampu merosakkan kebahagiaan rumah tangga.
“Contoh dalam media sosial, pertama sekali, tiada rahsia antara saya dan isteri dalam soal ini . Malah dia turut uruskan media sosial saya.
“Jadi dialah orang terawal yang membaca mesej di platform itu. Terus terang, bermacam-macam yang pelik kami terima.
“Yang cuba menggoda, bukan sahaja perempuan, malah lelaki pun ada.
“Itu belum lagi yang hantar gambar yang bukan-bukan selain mahu jadi isteri kedua. Apa pun, saya anggap semua ini lumrah apabila kita dikenali,” ceritanya.

PUASKAH
Sepanjang bergerak secara solo, kerjaya nyanyian Ameer sebenarnya tidak suram malah sebelum ini dia pernah muncul dengan beberapa buah single seperti Selalu dan Sudahlah (duet bersama Denny Mojo).
Terbaharu, Ameer melangkah dengan single terbaharu, Puaskah yang dinyanyikan bersama Maryam Saim.
“Saya berbesar hati kerana dapat kepercayaan untuk berduet dengan penyanyi berbakat besar seperti Maryam.
“Namun bukan mudah untuk merakamkan lagu dengan Maryam yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri. Setidaknya vokal saya perlu pada tahap yang dicapai Maryam.
“Apa pun saya bersyukur dengan kepercayaan diberikan. Dan lebih manis lagi apabila lagu ini dipilih sebagai lagu tema drama Bukan Ipar Sempurna.
“Pada saya ini satu lagi pencapaian peribadi yang menggembirakan selepas lagu nyanyian saya Selalu sebelum ini juga pernah menjadi lagu tema drama Dhia Kasyrani yang ditayangkan di platform iQIYI,” kongsinya.










