Kemelut landa GRS berikan kelebihan kepada BN

Kemelut landa GRS berikan kelebihan kepada BN

AHMAD Maslan (berdiri tiga dari kiri) menyantuni peserta pertandingan catur antara negeri di Dewan Muafakat, Taman Saujana, di Pontian, Johor hari ini.-UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Kemelut yang melanda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 (PRN17) tidak lama lagi.

Ketua Seketeriat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar dari GRS menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan gabungan tersebut.

“Situasi terkini ini memberi kelebihan kepada BN yang disifatkan telah bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi PRN17 Sabah sejak tahun lepas lagi,” katanya selepas merasmikan pertandingan catur antara negeri di Dewan Muafakat Johor di Taman Saujana, disini, pagi ini.

Media sebelum ini melaporkan STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo pada PRN17 Sabah pada tahun ini.

Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menambah, dengan suhu semakin panas bagi menghadapi PRN17 Sabah, beliau berharap jentera pilihan raya BN telah bersiap sedia mulai sekarang.

“Kami menjangka Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan terbubar pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata, pihaknya diberikan mandat bagi menjadi bapa angkat kepada dua kawasan Parlimen bagi menghadapi PRN17 Sabah.

Katanya, Parlimen tersebut ialah Kota Belud dan Tuaran dengan tumpuan kepada tiga kawasan DUN iaitu DUN Usukan, Pantai Dalit dan Temasuk dimana sebelum ini Pantai Dalit dan Temasuk dimenangi oleh BN pada pilihan raya negeri yang lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN