Kematian pelajar UM diklasifikasi mati mengejut

Kematian pelajar UM diklasifikasi mati mengejut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kematian pelajar lelaki Universiti Malaya (UM) maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan kolej kediaman petang semalam diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya setakat ini sedang merakam keterangan saksi-saksi kejadian terbabit.

Katanya, proses bedah siasat sedang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” katanya dalam kenyataan malam tadi. 

Semalam pelajar lelaki itu maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan kolej kediaman di sini. 

Shamsudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.15 petang.

“Kejadian berlaku membabitkan mangsa berusia 22 tahun yang jatuh dari bangunan kolej kediaman di UM dan dibawa ke PPUM.

“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.25 petang oleh Pegawai Perubatan PPUM,” katanya.

Dalam pada itu, UM memaklumkan, pihaknya melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar juga giat memberikan sokongan moral serta kemudahan yang diperlukan bagi membantu waris almarhum sepanjang urusan ini.

Katanya, jenazah akan disolatkan di Surau Ad-Deeniah PPUM pada pukul 9 pagi sebelum dibawa ke Masai, Johor untuk urusan pengebumian.

“Seluruh warga Universiti Malaya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga almarhum dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya dalam kenyataan.-UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN