SUNGAI PETANI: Seorang kelindan lori ditahan polis kerana disyaki merogol seorang remaja perempuan berstatus orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran dalam kejadian Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa berumur 18 tahun mengenali suspek melalui WhatsApp bermula Mei lalu dan sering berhubung melalui telefon.
“Pada Isnin lalu suspek mengajak mangsa yang berasal dari Pendang berjumpa sebelum membawanya ke rumah milik keluarganya yang tidak berpenghuni di Taman Sejati, di sini.
“Mangsa dipujuk untuk bermalam di rumah itu dan sekitar pukul 2 pagi remaja itu mendakwa dia dirogol oleh suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Kata Hanyan, sewaktu dihantar pulang, mangsa memberitahu keluarga tentang kejadian menimpanya sebelum mereka bertindak membuat laporan polis.
“Mangsa dihantar untuk pemeriksaan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), manakala suspek ditahan pukul 9 malam tadi untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN








