KOTA BHARU: Kelantan The Real Warriors (Kelantan TRW) membuat kejutan apabila memilih bekas pengendali Pulau Pinang Akmal Rizal Ahmad Rakhli untuk menggantikan E. Elavarasan yang direhatkan susulan prestasi tidak menentu pasukan itu ketika ini.
Sumber rapat Kelantan TRW berkata, bekas penyerang kebangsaan Harimau Malaya itu sudah tiba di Kota Bharu untuk mengendalikan pasukan.
“Ujian pertama untuk Akmal Rizal ialah aksi suku akhir pertama menentang Sabah FC malam esok di gelanggang sendiri (Stadium Sultan Muhammad IV).
“Pemilihan Akmal Rizal tepat kerana beliau sudah masak dengan suasana bola sepak di Kelantan dan pernah bermain bersama The Red Warriors (TRW) 2010 lalu. Jadi saya yakin Akmal Rizal mampu menggalas tugas tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sumber memberitahu, Akmal Rizal akan membentuk gandingan dengan Zairul Fitree Ishak yang merupakan bersama bekas rakan sepasukannya semasa beraksi dengan TRW satu masa dahulu.
Katanya, hal ini kerana Muamer Salibasic yang merupakan penolong jurulatih pasukan pulang ke Bosnia buat sementara waktu atas urusan keluarga.
“Keputusan merehatkan Elavarasan tepat susulan prestasi tidak menentu pasukan terutama selepas tewas 1-4 kepada Terengganu FC baru-baru ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia 20 Jun lalu melaporkan, bekas penolong ketua jurulatih Harimau Malaysia E. Elavarasan diumumkan sebagai pengendali Kelantan TRW.
Perkara tersebut diumumkan oleh Tan Sri Annuar Musa menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial facebook miliknya hari ini.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan dibawah kendali Elavarasan, Kelantan TRW menduduki tangga ketujuh dengam mengumpul lapan mata hasil tujuh perlawanan.
Pencapaian terbaik Elavarasan membawa Kelantan TRW mara ke aksi suku akhir pertama Piala FA musim ini.-UTUSAN